Selasa, 9 Julai 2019 | 12:39pm
Dalam kejadian pada 22 Mac lalu, kereta rasmi jenis Honda Accord kegunaan Mohd Asri dibakar pada bahagian bonet selain cermin turut dipecahkan dipercayai perbuatan khianat.

Mee Tomoi disambung reman hingga Khamis ini

KANGAR: Tempoh penahanan reman suspek terakhir atau Mee Tomoi yang dipercayai terbabit dalam kes membakar kereta rasmi Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin pada Mac lalu dilanjutkan sehingga Khamis ini selepas tempoh reman empat hari berakhir hari ini.

Perintah melanjutkan tempoh reman itu dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Mahkamah Kangar, Monica Joseph Gaisah, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Wari Kiew, berkata pihaknya akan menggunakan tempoh yang ada untuk melengkapkan kertas siasatan terhadap kes berkenaan sebelum suspek dibawa semula ke mahkamah untuk dituduh.

“Setakat ini memang dia mengaku dia adalah orang yang turut bertanggungjawab bersama seorang lagi suspek yang dituduh sebelum ini dalam membakar kereta terbabit, tapi kita masih reman suspek bagi melengkapkan proses siasatan.

“Sekiranya kesemuanya sudah lengkap, kita akan teruskan dengan proses pendakwaan sejurus tamat tempoh reman,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sebelum ini media melaporkan polis berjaya menahan suspek kedua yang terbabit dengan kejadian bakar kereta rasmi Mohd Asri selepas lebih lima bulan diburu sejak Mac lalu.

Ketua Polis Perlis, Datuk Noor Mushar Mohd dilaporkan berkata, suspek yang digelar Mee Tomoi itu ditahan di tempat persembunyiannya di sebuah rumah di Merbau Pulas, Kuala Ketil, Kedah.

Dengan tertangkapnya Mee Tomoi, siasatan terhadap kes yang disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan itu hampir selesai selepas rakan suspek yang turut terbabit sudah didakwa pada Mei lalu.

Berita Harian X