Selasa, 9 Julai 2019 | 10:33am
Anggota Bomba membawa pendaki gunung, Noriati Osman, 49, yang patah kaki ke Hospital Dungun untuk rawatan lanjut. - Foto Rosli Ilham

Pendaki wanita patah kaki jatuh gunung

DUNGUN: Seorang wanita yang patah kaki selepas terjatuh ketika mendaki Gunung Tok Bat, Chemerong Pasir Raja, dekat sini berjaya dibawa turun kira-kira jam 11 malam tadi.

Pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dengan dibantu tujuh malim gunung mengambil masa lebih empat jam untuk membawa turun Noriati Osman, 49.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Al Muktaffi Billah Shah, Zull Azman Jamaluddin, berkata, mangsa yang berasal dari Taman Pekatra Indah, Simpang Empat, Pulau Pinang mendaki gunung bersama 23 pendaki lain.

Katanya, ketika pendakian, mangsa dipercayai terjatuh sehingga menyebabkan kaki kirinya patah sebelum rakan mangsa meminta bantuan kecemasan, kira-kira jam 1 tengah hari.

“Susulan itu, lapan anggota termasuk tiga malim gunung dan anggota polis dikerahkan bagi memberi bantuan.

“Pasukan penyelamat mula melakukan pendakian kira-kira jam 4 petang dan mengambil masa empat jam untuk tiba ke lokasi kejadian.

“Mangsa yang cedera diberi rawatan awal sebelum pasukan bantuan bergilir-gilir mengusung mangsa untuk dibawa turun berikutan terpaksa mendaki beberapa bukit yang tinggi dengan laluan berliku,” katanya.

Zull Azman berkata pihaknya berjaya membawa turun mangsa dan menyerahkan wanita terbabit kepada pihak ambulans untuk dihantar ke Hospital Dungun bagi rawatan lanjut.

“Kami berterima kasih kepada semua pihak termasuk penduduk kampung yang turut membantu dalam usaha menyelamatkan mangsa, “katanya.

413 dibaca
Berita Harian X