Isnin, 8 Julai 2019 | 10:49am
Seorang juruteknik diperdaya rakan dalam urusan pembelian tiket penerbangan untuk bercuti di Rom, Itali. - Foto hiasan

Hasrat melancong tak kesampaian

KUANTAN: Seorang juruteknik kerugian RM28,510 selepas diperdaya rakan dalam urusan pembelian tiket penerbangan untuk bercuti di Rom, Itali.

Juruteknik lelaki berusia 40 tahun itu menempah tiket penerbangan berkenaan melalui seorang wanita yang juga pemilik sebuah syarikat pelancongan pada 27 Jun lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata mangsa mengenali suspek sejak 2017 dan pernah berurusan dengannya bagi trip pelancongan lain sebelum ini.

“Selepas berbincang dengan suspek mengenai percutian ke Itali itu, mangsa memindahkan wang RM28,510 bagi menempah tiga tiket kelas perniagaan dari Kuala Lumpur ke Rom dan balik semula ke Kuala Lumpur.

“Suspek kemudian memaklumkan tempahan sudah dibuat sebelum menghantar dokumen tempahan kepada mangsa melalui e-mel dan juga aplikasi WhatsApp,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mohd Wazir berkata, isteri mangsa kemudian membuat semakan dengan pihak syarikat penerbangan bagi mengesahkan penerbangan berkenaan, namun mendapati tempahan tiket berkenaan tidak wujud.

“Mangsa sekali lagi meminta penjelasan daripada wanita berkenaan namun suspek tetap mendakwa tempahan sudah dibuat.

“Juruteknik itu yang merasa dirinya ditipu, membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di sini, semalam,” katanya.

Sementara itu, dalam kes berasingan, Mohd Wazir berkata, seorang lelaki berusia 42 tahun kerugian RM2,550 selepas diperdaya sindiket penipuan menawarkan pinjaman tidak wujud di Facebook, akhir bulan lalu,

Beliau berlaku, kejadian bermula apabila mangsa berminat untuk membuat pinjaman peribadi selepas melihat iklan di meia sosial berkenaan sebelum meninggalkan butiran peribadi di ruang komen.

“Pada 3 Julai lalu, mangsa menerima panggilan telefon daripada suspek yang mendakwa wakil syarikat pinjaman wang dan mangsa memaklumkan berminat untuk membuat pinjaman sebanyak RM5,000 bagi membayar tunggakan pinjaman kereta dan motosikalnya.

“Namun mangsa diminta membuat beberapa bayaran sebelum pinjaman diluluskan dan mangsa membuat empat kali pindahan wang sebanyak RM2,550 ke dalam empat akaun berbeza,” katanya.

Beliau berkata, selepas membuat pindahan itu, suspek mendakwa pinjaman tidak boleh diluluskan dan meminta mangsa membuat bayaran RM1,750 bagi tujuan proses kelulusan pinjaman.

“Mangsa yang mengesyaki ditipu oleh sindiket itu membuat laporan polis di IPD Kuantan di sini, semalam,” katanya.

Katanya, kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Berita Harian X