Isnin, 8 Julai 2019 | 9:02am
Sebahagian dari PATI yang ditahan dalam operasi bersepadu oleh Jabatan Imigresen Langkawi, di sekitar pulau tersebut. - Gambar BERNAMA

102 warga asing ditahan di Langkawi

LANGKAWI: Seramai 102 individu ditahan dalam operasi bersepadu 46 jam bagi mengesan pendatang asing tanpa izin (PATI) membabitkan 90 lokasi di sekitar pulau ini.

Dalam operasi bermula jam 8 pagi Jumaat lalu hingga 6 pagi semalam, lokasi diperiksa termasuk jeti kelab kapal layar, pulau peranginan persendirian, pasar raya, tapak pembinaan dan rumah kongsi.

Turut diperiksa, rumah yang disyaki disewa PATI, kedai cuci kenderaan, restoran dan kelab malam di sekitar Kuah dan Pantai Chenang.

Pengarah Jabatan Imigresen negeri, Zuhair Jamaludin, berkata 1,000 pendatang asing diperiksa dan daripada jumlah itu seramai 102 ditahan kerana melakukan pelbagai kesalahan.


Pengarah Jabatan Imigresen Kedah, Zuhair Jamaludin. - Foto Sharul Hafiz Zam

Beliau berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada 53 warga Myanmar, Bangladesh (22), Indonesia (11), Thailand (11), Nepal (2), Pakistan (2) dan India (1).

“Tindakan diambil di bawah Perkara 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, iaitu melanggar atau gagal mematuhi mana-mana syarat pas, permit atau pas sempadan, selain tinggal lebih masa dan melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini, malam tadi.

Zuhair berkata, semua ditahan dibawa ke Lokap Imigresen di Kompleks KDN di sini untuk siasatan lanjut sebelum dibawa ke depoh tahanan di Belantik, Sik.

Beliau berkata, operasi bersepadu membabitkan empat pegawai kanan dan 13 anggota Imigresen itu dilakukan berikutan aduan awam yang bimbang kehadiran PATI di kawasan terbabit.

Katanya, pihaknya memandang serius terhadap isu kebanjiran PATI dan akan meneruskan operasi seumpama itu bagi membanteras masalah yang turut menyumbang ke arah kejadian jenayah.

835 dibaca
Berita Harian X