Ahad, 7 Julai 2019 | 8:36pm
KEADAAN Proton Wira yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 93 Jalan Aring-Sungai Gawi. - Foto ihsan polis

Lelaki maut, anak patah kaki kereta terbabas

KUALA TERENGGANU: Seorang pembantu am Pejabat Perhutanan Cameron Highlands maut selepas kereta dipandunya terbabas dalam kejadian di Kilometer 93 Jalan Aring-Sungai Gawi, Kuala Berang, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari, Mohd Fauzi Azir, 38, meninggal dunia di tempat kejadian, manakala anaknya, Muhammad Alif Syazwan, 8, patah paha kanan.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud, berkata kejadian dipercayai berlaku ketika dua beranak itu dalam perjalanan dari arah Cameron Highlands menghala ke Kuala Berang.

“Sebaik tiba di tempat kejadian, kereta dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan dan terbabas ke kanan jalan.

“Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu untuk bedah siasat dan anaknya turut dirawat di hospital sama.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Berita Harian X