Ahad, 7 Julai 2019 | 6:10pm
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan Johor, Mohd Khuzzan Abu Bakar. - NSTP/Hairul Anuar Rahim

Kerajaan Johor hormati hak rakyat failkan saman

JOHOR BAHRU: Kerajaan Johor menghormati hak rakyat negeri ini yang mahu memfailkan saman berikutan mendakwa menjadi mangsa sisa toksik berbahaya Sungai Kim Kim, Mac lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan Johor, Mohd Khuzzan Abu Bakar, berkata kerajaan negeri akan meneliti secara terperinci tuntutan yang dibuat kesemua mangsa berkenaan.

“Kita ambil maklum mengenai berita beberapa penduduk Pasir Gudang yang mendakwa mangsa sisa toksik Sungai Kim Kim akan memfailkan sama terhadap kerajaan negeri.

“Saya akan membawa isu tuntutan saman yang akan difailkan pada 17 Julai itu ke Mesyuarat EXCO Selasa ini, bagi dibincangkan dengan lebih lanjut sebagai persediaan untuk tindakan susulan kerajaan negeri,” katanya ketika dihubungi hari ini.

BH Online hari ini melaporkan, kerajaan Johor dan Menteri Besar antara 11 defendan yang akan dinamakan dalam tuntutan saman difailkan Jawatankuasa Bertindak Mangsa Gas Toksik Sungai Kim Kim dan Keluarga Mangsa Kes Toksik di Mahkamah Tinggi Johor Bahru, 17 Julai ini.

Peguam yang mewakili 160 mangsa dalam kes berkenaan, Kamarudin Ahmad, dilaporkan berkata tindakan itu susulan kesan pencemaran toksik membabitkan anak guamnya yang terdiri daripada 120 nelayan, enam orang awam dan 34 pelajar.

Dalam tuntutan saman itu, EXCO Kesihatan negeri, Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) turut dinamakan sebagai defendan.

Berita Harian X