Ahad, 7 Julai 2019 | 4:57pm
Kamarudin (tengah) mewakili beberapa mangsa gas toksik Pasir Gudang pada sidang media di Pasir Gudang. - NSTP/Hairul Anuar Rahim

Mangsa pencemaran Sungai Kim Kim fail saman 17 Julai

PASIR GUDANG: Kerajaan Johor dan Menteri Besar antara 11 defendan yang dinamakan dalam tuntutan saman difailkan Jawatankuasa Bertindak Mangsa Gas Toksik Sungai Kim Kim dan Keluarga Mangsa Kes Toksik di Mahkamah Tinggi Johor Bahru, 17 Julai ini.

Peguam yang mewakili 160 mangsa dalam kes berkenaan, Kamarudin Ahmad, berkata tindakan itu susulan kesan pencemaran toksik membabitkan anak guamnya terdiri daripada 120 nelayan, enam orang awam dan 34 pelajar.

Katanya, saman berkenaan membabitkan ganti rugi am dan khas, selain ganti rugi membabitkan tuntutan ke atas Irfan Wafi Idham Wazir, 12, yang kini menderita saraf kaki dan positif Myokimia.

“Tuntutan ganti rugi khas dianggarkan antara RM4,000 hingga RM5,000 perlu dibayar terhadap setiap plaintif (pemohon), manakala ganti am bergantung kepada mahkamah untuk menentukannya.

“Ganti rugi am bernilai RM5 juta membabitkan Irfan kerana menghidap penyakit Myokymia, selain keadaan kesihatannya yang serius serta tidak menampakkan pemulihan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata, dalam tuntutan saman itu, EXCO kesihatan negeri, Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) turut dinamakan sebagai defendan.

“Kita akan membuat tuntutan daripada pihak yang sudah dikenal pasti bertanggungjawab bermula dari kerajaan negeri diikuti Menteri Besar, selain Jabatan Pengairan dan Saliran serta kilang yang terbabit.

“Bagaimanapun alasan-alasan saman itu akan diserahkan pada tarikh ditetapkan itu,” katanya yang menjelaskan kebanyakan 34 pelajar terjejas dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Puteri Resort dan SMK Pasir Puteh.

Katanya, terdapat lapan jenis kimia dikenal pasti dalam isu pencemaran Sungai Kim Kim.

“Antara kimia toksik terbabit metana, hidrogen klorida, acrylonitrile, acrolein, ethylbenzene, toulene, xylene dan sianida,” katanya.

Mengulas mengenai isu kesihatan Irfan katanya, ada pihak mendakwa tiada bukti keadaan Myokymia dihadapi Irfan bukan berpunca daripada pencemaran Sungai Kim Kim.

“Kita ada laporan pakar perubatan yang sudah melakukan pemeriksaan Elektromiografi (EMG) ke atas Irfan dan menunjukkan Irfan menghidap Myokymia.

“Pakar perubatan percaya, keadaan Irfan berpunca daripada pendedahan Irfan kepada kimia toksik ketika insiden Sungai Kim Kim,” katanya.

Katanya, pihaknya mengambil masa untuk mengesan semua plaintif termasuk mengumpulkan dokumen dan laporan hospital.

Berita Harian X