Sabtu, 6 Julai 2019 | 2:27pm
ANGGOTA polis menahan suspek yang disyaki menunggang motosikal curi dalam Operasi Lejang di sekitar Tasik Biru, Bau. - Foto ihsan PDRM

Sempat 15 jam melaram motosikal curi

BAU: Seorang lelaki hanya sempat melaram motosikal dilarikannya selama 15 jam sebelum ditahan polis dalam operasi khas, Op Lejang, di sekitar Tasik Biru, di sini pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Bau, Deputi Superintendan Poge Nyaon, berkata suspek berusia 40 tahun itu ditahan kira-kira jam 4.10 pagi oleh sepasukan anggota polis yang menjalankan operasi berkenaan di lokasi kejadian.

“Suspek berada dalam keadaan mencurigakan sebelum diarahkan berhenti untuk pemeriksaan. Namun, suspek memecut dalam usahanya meloloskan diri tetapi berjaya ditahan di Jalan Kampung Belimbing, di sini.

“Suspek dan motosikal curi itu kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Poge berkata, pada jam 7.26 petang, pihaknya menerima maklumat bahawa seorang lelaki berusia 23 tahun melaporkan kehilangan motosikalnya di Pekan Siburan.

“Mangsa membuat laporan selepas mendapati motosikal miliknya yang diletakkan di hadapan sebuah bengkel dipercayai dicuri pada jam 5 pagi.

“Semakan menerusi nombor pendaftaran dan casis adalah sama dengan motosikal digunakan suspek menerusi tangkapan di Bau,” katanya.

Beliau berkata, tangkapan dan rampasan dirujuk kepada Jabatan Siasatan Jenayah IPD Padawan.

“IPD Padawan akan mengambilalih siasatan kes berkenaan, termasuk menahan suspek dan motosikal itu untuk tindakan lanjut,” katanya.

308 dibaca
Berita Harian X