Sabtu, 6 Julai 2019 | 1:07pm

Mee Tomoi ditahan polis kes bakar kereta Mufti Perlis

KANGAR: Selepas diburu kira-kira empat bulan, suspek kedua yang dipercayai terbabit dalam kejadian membakar kereta rasmi Mufti Perlis pada Mac lalu, akhirnya berjaya ditahan.

Ketua Polis negeri, Datuk Noor Mushar Mohd, berkata suspek dikenali ‘Mee Tomoi’ ditahan ketika bersembunyi di sebuah rumah di Merbau Pulas, Kuala Ketil, Kedah, pada jam 2 pagi tadi.

Katanya, penganggur berusia 48 tahun itu kemudian dibawa ke sini dan direman empat hari bermula hari ini untuk siasatan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan.

“Suspek ditahan awal pagi tadi berdasarkan maklumat risikan dilakukan polis. Kita turut merampas tiga telefon bimbit dan sejumlah kad SIM bagi membantu siasatan.

“Dalam soal siasat awal, suspek mengaku terbabit bersama seorang lagi yang sudah ditahan pada Mac lalu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Noor Mushar berkata, suspek juga mempunyai 14 rekod jenayah di beberapa negeri.

Sebelum ini, media melaporkan seorang peniaga pasar malam, Mohd Azimar Abdul Razak, 36, bersama seorang suspek yang masih bebas didakwa membakar kereta rasmi Dr Mohd Asri Zainul Abidin pada Mac lalu.

Bagaimanapun, Mohd Azimar yang didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada 24 Mei lalu mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan yang dikenakan.

Berita Harian X