Jumaat, 5 Julai 2019 | 3:46pm

TASKA tidak berdaftar didenda

MELAKA: Dua pemilik pusat jagaan kanak-kanak dan Taman Asuhan Kanak-kanak (TASKA) masing-masing didenda RM3, 500 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini hari ini kerana tidak berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Majistret Muhammad Nazrin Ali Rahim, menjatuhkan hukuman itu ke atas tertuduh, Anthony Tan Khai Hong, 38, dan Norrahayu Zainal Abidin, 35, selepas mereka mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, Anthony, sebagai individu yang terbabit dalam pengurusan Pusat Jagaan Kanak- Kanak AJ, didapati menguruskan pusat jagaan tidak berdaftar di bawah Akta Pusat Jagaan 1993 (Akta 506).

Perbuatan itu dilakukan tertuduh kira-kira jam 10.30 pagi di Jalan Taming Sari, Taman Mata Kuching, di sini, pada 6 Disember 2018.

Sementara itu, Norrahayu didapati menguruskan Taska Bijak Anakku, yang tidak berdaftar di bawah akta sama, kira-kira jam 10.10 pagi di Jalan Seri Aman 1, Taman Muzaffar Shah pada 13 Disember 2018.

Anthony dan Norrahayu masing-masing didakwa mengikut Seksyen 5(1) Akta Pusat Jagaan 1993 dan Seksyen 6(1) Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984 (Akta 308) yang membawa hukuman denda hingga RM10,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan yang dikendalikan Penolong Pengarah Perundangan dan Penguatkuasaan JKM, Mohd Firzami Idris, bersama Pegawai Pendakwa Noor Hayati Zaman serta Noraswana Selamat, memohon hukuman setimpal dikenakan sebagai pengajaran manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Selepas mendengar rayuan kedua-dua pihak, mahkamah memerintahkan tertuduh masing-masing didenda RM3, 500 atau empat bulan penjara sekiranya gagal menjelaskan denda dikenakan.

Berita Harian X