Jumaat, 5 Julai 2019 | 11:26am

Pakar fizik UiTM dipanggil jadi saksi inkues

SHAH ALAM: Mahkamah Koroner di sini hari ini memutuskan seorang pakar fizik Universiti Teknologi MARA (UiTM) akan dipanggil bagi menerangkan aspek pengiraan daya hentaman yang menjadi percanggahan dalam prosiding inkues kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim.

Koroner Rofiah Mohamad, berkata pakar terbabit, Dr Amir Radzi Ab Ghani, 48, yang juga pensyarah kanan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal UiTM, perlu hadir ke mahkamah memberi keterangan sebagai saksi ke-30 pada 16 dan 17 Julai ini.

“Pastikan saksi dimaklumkan dan bersetuju untuk membantu mahkamah dari segi persoalan dalam prosiding inkues yang diperlukan pada 16 Julai nanti.

“Berhubung syor untuk memanggil pakar patologi lain seperti dicadangkan pegawai pengendali, ia masih dipertimbangkan dan perlu selesaikan dulu keterangan daripada pakar fizik nanti,” katanya dalam prosiding pagi ini.

Semalam, Pegawai Pengendali, Faten Hadni Khairuddin, mencadangkan seorang lagi pakar patologi dipanggil dalam prosiding inkues berikutan dapatan berbeza daripada dua pakar.

Sebelum ini, pengiraan daya hentaman yang dikatakan menjadi punca kecederaan di dada kanan Muhammad Adib menjadi isu.

Ia berikutan terdapat perbezaan formula antara saksi ke-24, Pakar Forensik Hospital Kuala Lumpur, Dr Ahmad Hafizam Hasmi dengan saksi ke-29, Perunding Kanan Patologi Forensik United Kingdom, Prof Dr Shahrom Abd Wahid.

Sehingga kini, 29 saksi sudah dipanggil memberi keterangan, antaranya orang awam, pihak polis dan bomba serta beberapa pakar perubatan.

Muhammad Adib, 24, yang juga anggota van EMRS Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, Muhammad Adib menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember tahun lalu di Institut Jantung Negara (IJN).

Amir Radzi Ab Ghani. - Arkib NSTP
Berita Harian X