Khamis, 4 Julai 2019 | 6:40pm
Pegawai Pertahanan Awam Manjung, Kapten Nasaruddin Abu Bakar cedera dipatuk ular senduk di pejabatnya di Jalan Tok Perdana, Sitiawan. - Foto ihsan Pembaca

Pegawai pertahanan awam dipatuk ular tedung

SERI MANJUNG: Seorang pegawai pertahanan awam dipatuk ular tedung di pejabat Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Manjung di Jalan Tok Perdana, Sitiawan, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 pagi, Kapten (Pertahanan Awam) Nasaruddin Abu Bakar, 59, dipatuk ular sepanjang 0.6 meter itu ketika sedang tidur di pejabat berkenaan.

Pegawai Operasi dan Bencana APM Manjung, Leftenan (Pertahanan Awam) Shamsur Shahuddin, berkata keadaan mangsa bagaimanapun dilaporkan stabil kini dan ditahan di wad Hospital Seri Manjung (HSM) untuk rawatan lanjut.

“Kejadian dipercayai berlaku ketika Nasaruddin terlena selepas membuat kerja di pejabatnya dan tiba-tiba tersedar sebelum dipatuk ular itu di tapak tangan kirinya.

“Ular itu dipercayai masuk ke pejabat Nasaruddin melalui saluran bilik air. Ular berkenaan bukan hasil operasi APM,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, ketika kejadian, Nasaruddin berada dalam keadaan sedar dan keluar sendiri dari pejabatnya sebelum memaklumkan kepada anggota untuk menangkap ular berkenaan.

“Beliau kemudian dibawa ke HSM untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.

Berita Harian X