Khamis, 4 Julai 2019 | 5:22pm
Anggota bomba berjaya menyelamatkan seorang kanak-kanak lelaki selepas kakinya tersepit pada eskalator di sebuah pusat beli belah Jalan Song, Kuching. - Ihsan Bomba

Kaki kanak-kanak tersepit eskalator

KUCHING: Seorang kanak-kanak lelaki cedera apabila kakinya tersepit pada eskalator di sebuah pusat beli belah di Jalan Song, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah hari, kanak-kanak berusia lapan tahun itu bernasib baik apabila hanya cedera pada kaki.

Penolong Pengarah Operasi Negeri, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Tiong Ling Hii, berkata Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) memberi rawatan awal kepada kanak-kanak terbabit sebelum dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk rawatan lanjut.

“Pihak kami menerima panggilan kecemasan berkenaan kejadian pada jam 12.33 tengah hari dan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Lintang dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, pihak kami mendapati kaki kanak-kanak terbabit masih tersepit pada eskalator dan berjaya dikeluarkan dengan bantuan pihak pusat beli belah itu,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, mangsa masih menerima rawatan di HUS dan berada dalam keadaan stabil.

“Siasatan awal mendapati kanak-kanak terbabit dipercayai datang ke pusat beli belah itu bersama dua lagi rakannya.

“Ibu bapa mangsa sudah dimaklumkan kejadian itu,” katanya.

Berita Harian X