Rabu, 3 Julai 2019 | 8:32pm
Penunggang motosikal maut selepas motosikal yang ditunggangnya melanggar sebuah kenderaan lain, di Jalan Banting Pandamaran. - Foto ihsan PDRM

Maut akibat hilang kawalan

KLANG: Seorang penunggang motosikal maut apabila motosikal ditungganginya hilang kawalan selepas melanggar sebuah kenderaan dari arah sama di Jalan Banting Pandamaran di sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli, berkata mangsa, Ler Kian Hooi, 42, maut di tempat kejadian akibat cedera parah dan leher hampir putus.

“Kemalangan kira-kira jam 5.15 petang membabitkan sebuah motosikal jenis Honda Wave dan kereta jenis Perodua Kancil Ez.

“Penunggang motosikal meninggal dunia di tempat kejadian dan pemandu kereta, tidak mengalami kecederaan.

“Ketika kejadian, mangsa yang bekerja sebagai kontraktor kabinet dapur dipercayai dalam perjalanan pulang dari tempat kerja,” katanya dalam kenyataan.

Shamsul Amar berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berpunca apabila kedua-dua kenderaan datang dari arah Banting menghala ke Pandamaran, apabila tiba di persimpangan ke Taman Pendamar Indah, pemandu kereta membelok ke kanan dan penunggang motosikal yang datang dari arah belakang juga membelok ke kanan.

“Ketika membelok, mangsa hilang kawalan lalu melanggar pintu belakang kanan kereta terbabit.

“Leher penunggang dipercayai terkena pada tulang pintu belakang kanan kereta itu menyebabkannya hampir putus dan mangsa mati di tempat kejadian.

“Mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk bedah siasat. Hasil bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia kerana kehilangan darah akibat kecederaan leher yang teruk,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Berita Harian X