Rabu, 3 Julai 2019 | 2:48pm

Lelaki Pakistan cabul, tunjuk kemaluan ditahan polis

BUTTERWORTH: Polis menahan seorang lelaki warga Pakistan yang disyaki mencabul dan menunjukkan kemaluannya kepada seorang wanita di sebuah kedai pakaian di Telok Air Tawar, di sini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, berkata wanita berusia 30 tahun itu membuat laporan polis semalam mendakwa lelaki berusia 25 tahun mencabul dan menunjukkan kemaluan kepadanya.

Dalam laporannya, beliau berkata, mangsa memaklumkan dia sedang bekerja di kedai terbabit kira-kira jam 9.45 malam kelmarin apabila secara tiba-tiba ditolak oleh suspek yang datang ke premis itu.

“Suspek kemudian didakwa mencium mulut mangsa sebelum membuka zip seluar dan menunjukkan kemaluannya kepada mangsa,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Noorzainy berkata, polis berjaya memberkas suspek di sebuah rumah di Kulim, Kedah, kira-kira jam 2 petang semalam.

“Suspek mengaku melakukan perbuatan itu dan turut menawarkan RM20 untuk melakukan hubungan seks dengan mangsa.

“Dia direman untuk siasatan mengikut Seksyen 354/509 Kanun Keseksaan,” katanya.

567 dibaca
Berita Harian X