Rabu, 3 Julai 2019 | 12:59pm
ZAHARUDIN Rasip (tengah) mengangkat mayat Mohd Fairuz di kawasan jeti sungai Senduk, mukim Sungai Mati, Tangkak. - Foto ihsan PDRM

Mayat Lans Koperal Mohd Fairuz ditemui

MUAR: Mayat Lans Koperal Mohd Fairuz Mohd Hashim, yang lemas ketika cuba menyelamatkan anak lelakinya yang terjatuh ke dalam Sungai Muar, ditemui oleh orang awam di tepi Jeti Nelayan Sungai Senduk, Mukim Sungai Mati, Tangkak dekat sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Zaharudin Rasip, berkata mayat anggota polis berusia 36 tahun itu ditemui pada kira-kira jam 7.30 pagi tadi pada kedudukan sembilan kilometer dari lokasi kejadian.

“Polis menerima maklumat daripada orang awam menerusi Pusat Kawalan (DCC) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tangkak mengenai penemuan mayat berkenaan.

“Mayat terbabit ditemui di berhampiran Jeti Nelayan Sungai Senduk, Mukim Sungai Mati, Tangkak dekat sini. Mayat berkenaan kemudiannya dinaikkan ke darat pada jam 8.45 pagi dan kemudian dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan kepada media, pagi ini.

Zaharudin berkata, susulan penemuan itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang membabitkan pasukan dari IPD Muar, Pasukan Polis Marin (PPM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) ditamatkan pada jam 10 pagi tadi.

Semalam, pasukan SAR menemui mayat Muhammad Faqih, tujuh tahun, pada jam 2.40 petang di kawasan kuala Sungai Muar, berhampiran Marina Bay yang terletak kira-kira satu kilometer dari lokasi nahas berlaku.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang kelmarin, seorang anggota polis bersama anak lelakinya dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam Sungai Muar.

Mangsa bersama tiga lagi anaknya dipercayai ke lokasi kejadian untuk menghantar bungkusan makanan kepada rakannya yang bertugas di kawasan berhampiran manakala ketiga-tiga anaknya dikatakan sempat bermain di tepi sungai itu, sebelum Muhammad Faqih tiba-tiba dipercayai terjatuh ke dalam sungai berkenaan.

Melihatkan keadaan itu, mangsa kemudiannya dipercayai bertindak terjun ke dalam sungai untuk menyelamatkan anaknya, namun dia turut hilang berikutan keadaan arus sungai yang agak deras dan air pasang besar.

Berita Harian X