Rabu, 3 Julai 2019 | 11:38am

Nelayan halau buaya baham mayat

MIRI: Halau buaya ketika sedang menjamah separuh badan manusia.

Tindakan nekad sekumpulan nelayan Kuala Suai itu berjaya menyelamatkan separuh badan mangsa daripada dimakan reptilia berkenaan di Sungai Suai, Niah, pada jam 12.45 tengah hari semalam.

Hanya bahagian perut dan kaki yang sempat diselamatkan, manakala bahagian badan yang lain hilang.

Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Lim Meng Seah, berkata identiti mangsa masih belum dikenal pasti.

"Balai Polis Batu Niah menerima satu maklumat awal berkenaan satu penemuan mayat di Sungai Suai, Niah.

"Mayat itu hanya tinggal bahagian perut hingga ke kaki," katanya di sini, hari ini.

Lim berkata, ketika menjumpai mayat tersebut, seekor buaya sedang memakan mayat itu, namun buaya berjaya dihalau.

Katanya, semasa melalui Sungai Pabong menuju ke muara Sungai Suai, nelayan bersama adik lelakinya sedang berada dalam perahu dan ternampak seekor buaya sedang mengheret satu objek seperti tubuh manusia.

Beliau berkata, kedua-dua kemudian mendekati buaya itu dan ternampak mayat sedang dibaham buaya.

"Nelayan itu meminta bantuan nelayan yang lain yang kemudian mencari semula mayat tersebut. Pada jam 1.30 tengah hari mereka menjumpai buaya bersama mayat tersebut di kawasan Sungai Suai.

"Mereka menghalau reptilia itu dan menarik mayat mangsa dengan mengikat menggunakan tali dan menarik ke kawasan tebing berdekatan Jambatan Suai," katanya.

Jarak dari tempat mayat dibaham buaya ke kawasan ia dijumpai ialah 20 minit menaiki bot.

Lim berkata, siasatan awal polis mendapati mayat itu seperti milik seorang lelaki dewasa.

Namun, keturunan dan umur mayat tidak dapat dikenal pasti. Tiada sebarang dokumen pengenalan diri dijumpai di dalam pakaian.

Katanya, pemeriksaan mayat di tebing sungai mendapati tidak ada kecederaan nyata berlaku kelakuan jenayah pada mayat itu.

Mangsa berseluar warna hitam dan memakai tali pinggang. Mayat dihantar ke Hospital Miri untuk bedah siasat.

Keadaan separuh badan manusia dipercayai maut dibaham buaya ditemui nelayan di Sungai Suai, Miri. - NSTP/Erika George
Berita Harian X