Selasa, 2 Julai 2019 | 8:14pm
Bekas Pengarah SRC International, Datuk Suboh Md Yassin keluar dari bilik saksi selepas Mahkamah Tinggi Jenayah 3 berhenti rehat tengahari perbicaraan kes yang membabitkan penyelewengan dana SRC International di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. - Foto Mohd Yusni Ariffin

Nik Faisal sangat berkuasa, ada 'gunung' belakang dia - Suboh

KUALA LUMPUR: Menggunakan peribahasa Cina, bekas Pengarah SRC International Sdn Bhd (SRC), Datuk Suboh Md Yassin, menyifatkan bekas Ketua Pegawai Eksekutif syarikat itu, Nik Faisal Ariff Kamil, mendapat sokongan individu berpengaruh, seolah-olah ‘ada gunung di belakangnya’.

Selain mendapat sokongan individu berpengaruh itu, Nik Faisal turut digambarkan sebagai CEO yang amat berkuasa dalam memainkan peranan mengatur perjalanan syarikat.

“Dia boleh ‘tenyeh’ kami macam itu saja...Baginya, kami sebagai Ahli Lembaga Pengarah SRC bukan sesiapa.

“Dia lagi berkuasa sebab ada orang di belakang dia, ‘ada gunung di belakang dia’. Hari itu saya hendak memberi penjelasan tetapi kamu (peguam) semua membantah,” katanya.

Suboh berkata demikian menjawab soalan balas peguam Harvinderjit Singh, yang mencadangkan bahawa tiada sebarang resolusi, Minit Mesyuarat atau pekeliling yang melantik Nik Faisal sebagai ‘orang tengah’ antara Lembaga Pengarah dan Penasihat Emeritus SRC iaitu Datuk Seri Najib Razak.

Bagaimanapun, persoalan berhubung siapakah ‘gunung’ itu tidak dikemukakan dalam prosiding terbabit.

Harvinderjit: Setuju bahawa tiada Minit Mesyuarat atau pekeliling yang melantik Nik Faisal sebagai perantara antara Lembaga Pengarah dan Penasihat Emeritus?

Suboh: Bukan dalam terma itu. Ia lebih daripada itu. Beliau ada mesyuarat peringkat atasan dengan Najib dan beliau beritahu Lembaga Pengarah yang diperlihatkan melalui Mesyuarat Pemegang Saham.

Harvinderjit: Jadi ini semua ini bertentangan dengan apa yang Nik Faisal beritahu kamu?

Suboh: Ia ada dalam Minit Mesyuarat. Nik Faisal beritahu dia ada berjumpa Najib.

Harvinderjit: Tetapi kamu tidak tahu sebab tidak pernah nampak Minit itu kan?

Suboh: Ya.

Harvinderjit: Nik seorang yang pintar, jadi kamu tidak meragui apa yang beliau cakap?

Suboh: Ya.

Harvinderjit: Hari ini kamu dikemukakan dengan kejanggalan dalam syarikat?

Suboh: Ya.

Bagaimanapun, sebelum sempat saksi menjawab, penjelasan itu dipotong oleh peguam, menyebabkan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk V Sithambaram, bangun membantah dan meminta Harvinderjit memberikan peluang kepada Suboh menjelaskan lebih lanjut.

Perkara sama berlaku ketika Harvinderjit mencadangkan bahawa Nik Faisal memalsukan tandatangan Suboh berkaitan dana RM140 juta daripada SRC kepada Putra Perdana Sdn Bhd bagi projek perlombongan di Amerika Selatan.

Jawab Suboh, “Saya tidak percaya.”

Sithambaram kemudian membantah kerana perkara itu belum dibuktikan. Ketegangan berlaku sekali apabila Harvinderjit mencadangkan bahawa ia hanya persepsi saksi bahawa Nik Faisal adalah orang perantara kerana Lembaga Pengarah tidak pernah mengesahkan dengan Najib sendiri.

Suboh cuba memberi penjelasan tetapi dipotong peguam sekali lagi, menyebabkan Sithambaram berang dan bangun membantah.

“Kamu tanya saksi soalan, sekarang bagi peluang dia jawab. Kamu tidak boleh potong penjelasan dia macam itu saja... Jangan buat begitu hanya kerana tidak suka jawapan dia.

“Duduk dan bagi dia jawab...Ini amat tidak adil, asyik kena potong, lain kali jangan tanya,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Mohd Yusoff, turut membantah tindakan Harvinderjit kerana pembelaan dari awal bertanya soalan panjang tetapi hanya memerlukan jawapan pendek yang disifatkan tidak adil.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali, kemudian memutuskan saksi boleh menjawab berdasarkan soalan ditanya, sama ada memerlukan jawapan panjang atau pendek mengikut kesesuaian.

Perbicaraan di hadapan Mohd Nazlan bersambung esok.

Berita Harian X