Selasa, 2 Julai 2019 | 7:17pm
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dua beranak yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam Sungai Muar petang semalam di teruskan pagi ini. - Foto Badrul Kamal Zakaria

Ops SAR masuk 24 jam kesan kedudukan mangsa

MUAR: Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) masih giat mengesan Lans Koperal Mohd Fairuz Mohd Hashim, yang dikhuatiri lemas selepas cuba menyelamatkan anak lelakinya yang terjatuh ke Sungai Muar, petang semalam.

Terdahulu, pasukan SAR menemui mayat anaknya, Muhammad Faqih, 7, pada jam 2.40 petang tadi di kawasan kuala Sungai Muar, berhampiran Marina Bay, yang terletak kira-kira satu kilometer dari lokasi nahas berlaku.

Operasi SAR yang sudah memasuki 24 jam itu disertai anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar, Pasukan Polis Marin (PPM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Tinjauan BH di Sungai Muar mendapati pasukan SAR yang dianggotai 78 pegawai dan anggota itu masih tidak berputus asa mencari mangsa.

Difahamkan, pasukan SAR melakukan pencarian mangsa di kawasan antara Marina Bay hingga ke Kampung Sabak Awor, selain pasukan penyelam turut melakukan selaman di lokasi kejadian namun berdepan kesukaran berikutan arus sungai yang deras, selain dasarnya berlumpur dan berbatu.

Selain pasukan SAR, jemaah Masjid Sultan Ibrahim turut melakukan solat hajat mendoakan usaha pencarian itu dipermudahkan oleh Allah SWT.

Tinjauan mendapati, pada jam 6.30 petang tadi, keadaan sungai mengalami fenomena air pasang serta keadaan arus juga menjadi bertambah kuat.

Usaha BH untuk mendapatkan reaksi ahli keluarga dan rakan mangsa tidak berhasil apabila mereka enggan ditemuramah kerana ingin menjaga perasaan isteri mangsa ketika ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang semalam, Mohd Fairuz bersama tiga anaknya dipercayai ke lokasi kejadian untuk menghantar bungkusan makanan kepada rakannya yang bertugas di kawasan berhampiran.

Ketiga-tiga anaknya sempat bermain di tepi sungai, sebelum Muhammad Faqih tiba-tiba dipercayai terjatuh ke dalam sungai berkenaan.

Mohd Fairuz kemudian dikatakan terjun ke dalam sungai untuk menyelamatkan anaknya, namun dia turut hilang akibat keadaan arus deras.

315 dibaca
Berita Harian X