Selasa, 2 Julai 2019 | 4:25pm
KETUA Polis Muar, Asisten Komisioner Zaharudin Rasip (dua dari kanan) bersama pasukan SAR membawa naik jenazah Muhammad Faqih Mohd Fairuz di jeti ditebing Sungai Muar. NSTP/Ihsan PDRM

Lemas di Sungai Muar: Mayat Muhammad Faqih ditemui

MUAR: Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) menemui mayat seorang daripada dua beranak yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam Sungai Muar di sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Zaharudin Rasip, berkata mayat Muhammad Faqih Mohd Fairuz, 7, ditemui pasukan SAR di kawasan kuala Sungai Muar berhampiran Marina Bay, iaitu pada jarak satu kilometer daripada lokasi kejadian pada jam 2.40 petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang semalam, seorang anggota polis bersama anak lelakinya berusia tujuh tahun dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam Sungai Muar, semalam.

Dalam kejadian itu, mangsa yang dikenali sebagai Lans Koperal Mohd Fairuz Mohd Hashim, 36, dilaporkan terjun ke sungai berkenaan bagi menyelamatkan Muhammad Faqih yang terjatuh ke sungai ketika bermain di jeti di tepi sungai berkenaan

Mangsa bersama tiga lagi anaknya dipercayai ke lokasi kejadian untuk menghantar bungkusan makanan kepada rakannya yang bertugas di kawasan berhampiran manakala ketiga-tiga anaknya bermain di tepi sungai, sebelum Muhammad Faqih terjatuh ke dalam sungai berkenaan.

Mangsa kemudian dipercayai terjun ke sungai untuk menyelamatkan anaknya, namun dia turut hilang akibat keadaan arus sungai yang agak deras.

1057 dibaca
Berita Harian X