Selasa, 2 Julai 2019 | 1:40pm
OPERASI mencari dan menyelamat (SAR) dua beranak yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam Sungai Muar petang semalam di teruskan pagi ini. - Foto Badrul Kamal Zakaria

Dua beranak hilang di Sungai Muar: Operasi SAR diteruskan pagi tadi

MUAR: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dua beranak yang dikhuatiri lemas selepas dilaporkan hilang di Sungai Muar, semalam, diteruskan pagi tadi dengan radius pencarian diperluaskan hingga ke kawasan Sabak Awor.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Zaharudin Rasip, berkata operasi SAR disambung semula sejak jam 7 pagi setelah dihentikan sementara pada tengah malam tadi.

“Kita sudah menjalankan operasi SAR sejak petang semalam, namun dihentikan sementara pada tengah malam tadi berikutan beberapa faktor.

“Operasi SAR disambung semula sejak jam 7 pagi tadi dengan kekuatan 78 pegawai dan anggota daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar, Pasukan Polis Marin (PPM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM),” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Zaharudin berkata, radius pencarian kini diperluaskan bermula dari kawasan Marina Bay hingga ke kawasan Sabak Awor bagi mengesan kedua-dua mangsa.

“Pasukan penyelam juga membuat pencarian di sekitar lokasi kejadian, namun berdepan sedikit kesukaran berikutan arus sungai yang deras.

“Selain itu, dasar sungai yang berlumpur dan berbatu juga sedikit menyulitkan operasi SAR ini,” katanya.

Sementara itu, tinjauan BH mendapati pasukan SAR sedang giat melakukan operasi SAR di lokasi kejadian.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang semalam, seorang anggota polis bersama anak lelakinya berusia tujuh tahun dikhuatiri lemas selepas dilaporkan hilang di Sungai Muar berhampiran Istana Tanjung, di sini.

Mangsa dikenali sebagai Lans Koperal Mohd Fairuz Mohd Hashim, 36, dilaporkan terjun bagi menyelamatkan anaknya, Muhammad Faqih yang dipercayai terjatuh ke sungai ketika bermain di jeti istana berkenaan.

Mangsa bersama tiga anak dipercayai ke lokasi kejadian untuk menghantar bungkusan makanan kepada rakannya yang bertugas sebagai pengawal istana.

Ketiga-tiga anaknya dikatakan bermain di tepi sungai itu sebelum Muhammad Faqih dipercayai tiba-tiba terjatuh ke sungai berkenaan.

Berita Harian X