Selasa, 2 Julai 2019 | 1:42am
Khamis lalu, BH melaporkan kawasan dipercayai tapak pelupusan sampah haram di situ terbakar dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi. - Ihsan Bomba

Kebakaran tapak pelupusan sampah padam sepenuhnya

KLANG: Pihak bomba masih memantau kawasan tapak pelupusan sampah haram yang terbakar di Jalan Sungai Saim, Kampung Rantau Panjang, di sini, walaupun api sudah dipadamkan kira-kira jam 6 petang tadi.

Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Klang, Samsol Maarif Saibani, berkata anggotanya masih berada dan bermalam di lokasi sehingga kini.

“Anggota yang ‘standby’ adalah anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Pinang dan BBP dalam Zon Klang.

“Walaupun padam sepenuhnya petang tadi tetapi kita masih pantau secara berterusan sekiranya ada api yang naik membara semula malam ini (semalam) atau pagi esok (hari ini).

“Anggota memantau kepada titik asap sekiranya ada sehingga esok pagi (hari ini) dan bermalam di bawah khemah yang sedia ada,” katanya ketika dihubungi, tengah malam tadi.

Samsol Maarif berkata, pada hari kelima, antara tindakan operasi yang dilakukan adalah pengasingan sampah terbakar dan tidak terbakar.

Beliau berkata pemadaman termasuk menggunakan sumber air melalui tali air dan parit dan penggunaan tiga unit jengkaut.

Khamis lalu, BH melaporkan kawasan dipercayai tapak pelupusan sampah haram di situ terbakar dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi.

Kebakaran itu membabitkan kawasan seluas kira-kira 1.2 hektar tanah milik persendirian, yang menjadi sebahagian daripada kawasan pelupusan sampah berkeluasan kira-kira empat hektar.

Kawasan berkenaan difahamkan menjadi tapak pelupusan sampah bagi bahan kitar semula dan penebat wayar yang dikisar.

Berita Harian X