Selasa, 2 Julai 2019 | 12:08am

Anggota polis, anak dikhuatiri lemas

MUAR: Seorang anggota polis bersama anaknya berusia tujuh tahun dikhuatiri lemas dalam Sungai Muar, berhampiran Istana Tanjung di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu, mangsa yang dikenali sebagai Lans Koperal Mohd Fairuz Mohd Hashim, 36, dilaporkan terjun ke sungai berkenaan bagi menyelamatkan anaknya, Muhammad Faqih yang terjatuh ke sungai ketika bermain di jeti istana.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Zaharudin Rasip, berkata sebelum kejadian, mangsa bersama tiga anaknya dipercayai ke lokasi kejadian untuk menghantar bungkusan makanan kepada rakannya yang juga seorang pengawal istana.

“Ketika kejadian, tiga anak mangsa bermain di tepi sungai berkenaan dan secara tiba-tiba seorang daripadanya iaitu Muhammad Faqih terjatuh ke dalam sungai,” katanya ketika dihubungi.

Zaharudin berkata, melihatkan kejadian itu, Mohd Fairuz yang bertugas di Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar, segera terjun ke sungai untuk menyelamatkan anaknya.

“Kejadian berlaku ketika air pasang dan berarus deras menyebabkan kanak-kanak itu gagal diselamatkan kerana dihanyutkan.

“Mangsa yang nekad untuk menyelamatkan anaknya turut dihanyut arus dan hilang,” katanya.

Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa terus dilancarkan sebaik menerima laporan yang turut membabitkan pasukan penyelamat dari Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 2 Muar, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Muar, Angkatan Pertahanan Malaysia (APM) dan Kementerian Kesihatan Muar.

Difahamkan sehingga jam 12 tengah malam tadi, dua beranak itu masih belum ditemui dan operasi SAR juga akan disambung semula pagi ini.

2375 dibaca
Berita Harian X