Isnin, 1 Julai 2019 | 5:28pm
Bekas Pengarah SRC International, Datuk Suboh Md Yassin (tengah) keluar dari bilik saksi Mahkamah Tinggi Jenayah 3 di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. - NSTP/Mohd Yusni Ariffin

Suboh tandatangan dokumen atas arahan Nik Faisal

KUALA LUMPUR: Bekas Pengarah SRC International Sdn Bhd (SRC), Datuk Suboh Md Yassin, hanya ikut arahan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Nik Faisal Ariff Kamil, ketika menandatangani tiga surat arahan pindahan RM50 juta dari akaun SRC kepada dua anak syarikatnya.

Suboh, dalam keterangannya di Mahkamah Tinggi hari ini, berkata ia adalah kerana Nik Faisal selaku CEO yang juga pengarah syarikat SRC, bertanggungjawab dalam hal kewangan dan pentadbiran.

“Jadi, saya serah semuanya kepada dia (Nik Faisal),” katanya.

Suboh yang juga saksi ke-42 pendakwaan, berkata demikian ketika Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Ishak Mohd Yusoff, merujuk kepadanya tiga dokumen surat arahan pindahan wang itu yang mengandungi tandatangan beliau dan Nik Faisal.

Ia termasuk transaksi RM40 juta daripada akaun SRC ke akaun Gandingan Mentari Sdn Bhd (Gandingan Mentari) pada 24 Disember 2014; RM5 juta daripada SRC kepada Gandingan Mentari pada 5 Februari 2015 dan RM5 juta daripada SRC kepada Ihsan Perdana Sdn Bhd (IPSB) pada 6 Februari 2015.

IPSB adalah syarikat yang ditubuhkan untuk mengendalikan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi SRC manakala Gandingan Mentari adalah anak syarikat SRC.

Menjawab soalan Ishak mengapa wang berkenaan dipindahkan kepada IPSB dan Gandingan Mentari, saksi itu menjawab, “Konon nak buat CSR.”

Ishak: Kamu juga pengarah Gandingan Mentari?

Suboh: Ya

Ishak: Kamu pengarah dua buah syarikat, kenapa buat begitu?

Suboh: Tak tahu, saya berpandukan kepada nasihat Nik Faisal. Saya diminta Nik untuk berbuat demikian, saya ikut saja.

Sementara itu, Suboh memberitahu mahkamah, Nik Faisal juga mengarahkan beliau menandatangani dua Resolusi Pekeliling Pengarah (DCR) membabitkan IPSB sebagai syarikat mengendalikan program CSR dan pembayaran oleh Gandingan Mentari kepada IPSB bagi pihak SRC.

Saksi itu berkata, dokumen berkenaan ditandatanganinya ketika berada di Bangkok, Thailand.

Dalam perbicaraan sebelum ini, Suboh berkata beliau mengambil keputusan melarikan diri ke Bangkok pada 2015 selepas menerima panggilan daripada seseorang yang mengarahkannya meninggalkan negara

Sementara itu, Suboh berkata beliau dihubungi oleh Nik Faisal yang memaklumkan bahawa masih ada urusan berhubung program CSR yang belum selesai.

“Jadi, beliau menghantar seorang lelaki warga Thailand dikenali sebagai Kun, yang membawa dokumen berkenaan untuk ditandatangani.

“Ketika dokumen diserahkan, tandatangan Nik Faisal sudah tertera di atas kertas, bagaimanapun ruangan tarikh masih kosong.

“Selepas saya tandatangan, saya serahkan kembali kepada Kun untuk diuruskan dan dia menggunakan perkhidmatan syarikat penghantaran DHL,” katanya.

1356 dibaca
Berita Harian X