Isnin, 1 Julai 2019 | 4:09pm
Sebahagian dadah dan tiga suspek yang ditahan ketika leka membungkus dadah dalam serbuan di sebuah rumah di Perumahan Awam, Jalan Gunung Raya, Langkawi. - NSTP/Ihsan PDRM

Tiga tokan dadah ditahan

LANGKAWI: Polis menahan tiga tokan dadah ketika leka membungkus dadah dalam serbuan di sebuah rumah di sini, semalam.

Dalam serbuan 4.45 petang di Perumahan Awam, Jalan Gunung Raya di sini, polis turut merampas dadah heroin, syabu dan ganja seberat 46.95 gram (g).

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim, berkata mereka berusia di antara 19 dan 43 tahun itu menjadikan rumah terbabit sebagai tempat membungkus dadah bagi mengelak dikesan pihak polis.

“Ketika serbuan dilakukan, polis mengesan tiga lelaki terbabit sedang leka membungkus dadah dengan duduk di atas lantai sambil menghadap satu sama lain.

“Menyedari kehadiran polis, ketiga-tiga suspek bertindak agresif dan bergelut dengan polis, namun usaha mereka tidak berjaya,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mohd Iqbal berkata, pemeriksaan lanjut polis menemui 11 paket plastik lutsinar dan tiga plastik besar berisi heroin seberat 45.35 g, sembilan plastik kecil lutsinar (syabu, 0.92 g) dan satu plastik kecil lutsinar (ganja, 0.68 g).

“Siasatan awal mendapati suspek berusia 32 tahun dan bekerja sebagai operator feri turut memiliki jenayah lampau berkaitan dadah, manakala rakannya berusia 43 tahun bekerja sebagai nelayan pernah disiasat kes mencuri.

“Ujian air kencing mendapati ketiga-tiga suspek yang juga penduduk tempatan positif dadah morfin,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

344 dibaca
Berita Harian X