Isnin, 1 Julai 2019 | 12:18pm
WAN Azizah pada Persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen. - Foto Eizairi Shamsudin

Tutup sekolah bergantung jika ada kes baharu

KUALA LUMPUR: Keputusan untuk menutup sekolah di Pasir Gudang, Johor, bergantung kepada sekiranya terdapat kes baharu membabitkan pelajar atau guru yang terjejas dengan pencemaran udara di kawasan itu, hari ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata setakat pagi ini, tiada kes baharu pelajar atau guru sesak nafas, loya atau muntah, sekali gus tiada sebarang alasan untuk menghentikan sesi persekolahan di Pasir Gudang buat masa ini.

“Berdasarkan laporan yang saya terima pagi tadi, tiada insiden membabitkan pelajar sekolah terkesan dengan pencemaran udara di sana.

“Namun, kita masih menunggu sekiranya ada kes hari ini, kerana kes pelajar loya dan muntah kebiasaannya berlaku sekitar jam 11 pagi dan ke atas.

“(Setakat ini) tidak ada sebab untuk tutup sekolah. Apa yang pasti, laporan Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengesahkan bahawa insiden kali ini berbeza dengan kes Sungai Kim Kim,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada wujud keperluan untuk menutup sekolah di Pasir Gudang apabila ratusan murid, pelajar dan guru mengalami sesak nafas dan muntah hanya selepas dua jam sekolah dibuka, semalam.

Mengulas lanjut, Dr Wan Azizah berkata, zon penampan yang lebih luas antara kawasan industri dengan zon perindustrian semata-mata, tidak cukup untuk menghalang insiden pencemaran udara di Pasir Gudang daripada berulang.

“Saya ada berbincang juga (mengenai zon penampan untuk halang insiden berulang), namun ia tidak memadai kerana kes pencemaran ini berpunca daripada gas.

“Gas itu boleh ditiup angin dan dibawa daripada zon perindustrian melangkaui zon penampan (ke kawasan perindustrian),” katanya.

Sementara itu, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik pula berkata, keputusan untuk menutup sekolah akan dibuat oleh Jabatan Pendidikan Johor.

“Apa-apa keputusan akan dibuat oleh Jabatan Pendidikan negeri, berdasarkan hasil perbincangan dengan semua agensi terbabit, termasuk kerajaan negeri,” katanya.

428 dibaca
Berita Harian X