Ahad, 30 Jun 2019 | 10:21pm
Kawasan dipercayai tapak pelupusan sampah haram yang terbakar di Jalan Sungai Saim, Kampung Rantau Panjang, sejak Khamis lalu. - NSTP/Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Kebakaran tapak pelupusan sampah haram dipadam

KLANG: Kira-kira 0.8 hektar dari 1.21 hektar kawasan dipercayai tapak pelupusan sampah haram yang terbakar di Jalan Sungai Saim, Kampung Rantau Panjang, di sini, sejak Khamis lalu, berjaya dipadamkan sehingga jam 5 petang tadi.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Selangor, Hafisham Mohd Noor, berkata pihaknya menggunakan kaedah pemadaman secara ‘direct attack’ membabitkan dua aliran dengan lapan pancutan.

“Kerja pemadaman turut dibantu dua jengkaut dan jentera penggali dari Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan Jabatan Pengairan Saliran (JPS).

“Keadaan cuaca panas dan berangin di lokasi kejadian sepanjang kerja pemadaman dilakukan,” katanya dalam satu kenyataan.

Hafisham berkata, Skuad Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor (UPBN) turut membuat pemantauan darat dan udara di lokasi.

“Hasil pemantauan menggunakan dron, UPBN mendapati masih terdapat titik besar yang berasap.

“Kami memang sudah membuat pemadaman di situ, cuma tak sampai ke situ sebab asap tebal,” katanya.

Khamis lalu, BH melaporkan kawasan dipercayai tapak pelupusan sampah haram di situ terbakar dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi.

JBPM menerima panggilan pada jam 8.20 pagi sebelum pasukannya dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Pinang dikejarkan ke lokasi.

Kebakaran itu membabitkan kawasan seluas kira-kira 1.2 hektar tanah milik persendirian, yang menjadi sebahagian daripada kawasan pelupusan sampah berkeluasan kira-kira empat hektar.

Kawasan berkenaan difahamkan menjadi tapak pelupusan sampah bagi bahan kitar semula dan penebat wayar yang dikisar.

Berita Harian X