Ahad, 30 Jun 2019 | 12:55pm

Puluhan pelajar Pasir Gudang terjejas lagi

PASIR GUDANG: Puluhan pelajar di beberapa sekolah sekitar kawasan ini terjejas dipercayai akibat pencemaran udara selepas kira-kira dua jam sekolah dibuka, pagi tadi.

Tinjauan BH mendapati Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Puteri Resort antara yang terawal terjejas apabila dua pelajarnya mengalami simptom muntah dan sesak nafas kira-kira jam 10.30 pagi.


MURID Sekolah Kebangsaan Kopok Pasir Gudang pulang selepas sebahagian mereka mengalami simptom muntah dan sesak nafas pagi tadi. NSTP/ZAIN AHMED

Selain itu, Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Pasir Putih pula mencatatkan 19 murid mengalami simptom sama sebelum ibu bapa diarah membawa pulang murid terjejas.

Tinjauan di SK Kopok pula mendapati 32 murid dan dua guru terjejas dengan simptom sama.

Beberapa murid sekolah itu dilihat muntah dan lemah, sebelum dihantar dengan ambulans Kementerian Kesihatan dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) ke Klinik Kesihatan Masai untuk rawatan lanjut.

Pengarah Kesihatan Johor, Dr Selahuddeen Abd Aziz, yang kebetulan melakukan tinjauan di SK Kopok dilihat turut membantu memberi rawatan awal kepada murid yang terjejas.

Difahamkan, kebanyakan mangsa terjejas adalah pelajar yang mengalami simptom sama akibat pencemaran udara sejak minggu lalu.

Seorang ibu, Siti Zuraidah Rozali, 40, berkata beliau bergegas menjemput anaknya, Mohd Haikal Mohd Hanif, 12, di SK Pasir Putih, selepas diarahkan pihak sekolah.

“Anak saya dalam keadaan sihat dan gembira kembali ke sekolah, pagi tadi, sebelum dimaklumkan mengalami sesak nafas serta lemah.

“Ini adalah kali kedua anak saya menjadi mangsa pencemaran udara selepas terpaksa dikejarkan ke Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) bagi mendapatkan rawatan awal pada minggu lalu, ” katanya.

MURID Sekolah Kebangsaan Kopok Pasir Gudang pulang selepas sebahagian mereka mengalami simptom muntah dan sesak nafas pagi tadi. NSTP/ZAIN AHMED
Berita Harian X