Khamis, 27 Jun 2019 | 8:24pm

Wanita warga emas disamun, dibunuh

BUTTERWORTH: Seorang wanita warga emas ditemui mati dibunuh dalam keadaan tangan dan kakinya terikat di rumah dua tingkat didiaminya di Taman Merbau Jaya, Sungai Dua, di sini petang tadi.

Kejadian disedari anaknya yang terkejut apabila melihat mangsa berlumuran darah dan sudah tidak bernyawa dalam sebuah bilik ketika melawat ibunya itu kira-kira jam 4 petang tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, berkata polis bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan pada jam 4.37 petang berhubung insiden berkenaan.

“Siasatan awal mendapati mangsa dikenali sebagai Loo Nyak Sing, 71, dan dia tinggal berseorangan di rumah berkenaan sejak tiga tahun lalu dan anak-anaknya akan datang melawatnya antara jam 3 hingga 4 petang setiap hari.

“Namun, anak mangsa terkejut apabila mendapati ibu mereka sudah meninggal dunia, selain mangsa mengalami kecederaan di belakang badan dan paha akibat dikelar,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini hari ini.

Noorzainy berkata, polis percaya rumah mangsa dipecah masuk individu tidak dikenali sebelum suspek bertindak membunuh mangsa.

Beliau berkata, polis kini sedang menganalisa beberapa rakaman litar kamera tertutup (CCTV) yang berada di lokasi kejadian bagi mengenal pasti punca sebenar mangsa dibunuh.

“Mangsa dipercayai bergelut dengan suspek berikutan terdapat kesan darah dari tingkat bawah ke atas sebelum dia maut.

“Bagaimanapun, siasatan terperinci masih dijalankan dan polis mengklasifikasikan kes ini mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh” katanya.

Katanya, pasukan forensik juga sedang menjalankan pemeriksaan untuk mengenalpasti barangan yang dilarikan suspek di rumah berkenaan.

“Mayat dibawa ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk proses bedah siasat,” katanya.

712 dibaca
Berita Harian X