Rabu, 26 Jun 2019 | 7:20pm

Ibu pelajar dirotan guru tarik balik laporan polis

PASIR GUDANG: Ibu kepada seorang pelajar perempuan yang dirotan guru di sebuah sekolah di Johor Bahru, sudah menarik balik laporan polis berhubung insiden itu.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd, berkata walaupun laporan itu ditarik balik sehari selepas ia dibuat, polis tetap meneruskan siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan, iaitu dengan sengaja menyebabkan cedera.

“Berhubung kes seorang pelajar dirotan gurunya, laporan memang sudah dibuat dan kita menyiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

“Bagaimanapun, ibu kepada pelajar berkenaan sudah mengambil keputusan untuk menarik balik laporan.

“Mungkin dia ada perbincangan (antara keluarga dengan sekolah). Dalam aspek itu, ia (menarik balik laporan) adalah urusan peribadi, namun pihak polis tetap meneruskan siasatan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Penghargaan Sempena Pertukaran Ketua Polis Johor anjuran Persatuan Polis Bantuan Kontinjen Johor dan Agensi Polis Bantuan Johor, di sini, hari ini.

Sebelum ini, tular satu rakaman video berdurasi dua minit 28 saat menunjukkan seorang wanita meminta penjelasan daripada seorang guru lelaki berikutan anak perempuannya dirotan.

Dalam rakaman itu, guru berkenaan dilihat memberi penjelasan mengenai tindakan beliau merotan pelajar terbabit, namun dipertikaikan ibu berkenaan sambil menunjukkan kesan rotan pada tubuh anaknya.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Mohd Khalil berkata, dua kes baharu direkod membabitkan seorang lelaki maut, manakala seorang lagi koma dipercayai meminum arak dicemari bahan kimia beracun metanol.

“Ini menjadikan jumlah keseluruhan lima kematian, seorang mangsa mengalami masalah hilang penglihatan dan seorang lagi koma.

“Polis Johor dengan Hospital Sultan Ismail sudah mewujudkan kerjasama dan sedang mengambil tindakan susulan bagi pembanterasan (arak seludup).

“Saya fikir apabila sudah menggerakkan kerjasama ini, kita mungkin akan berserta pihak Jabatan Kastam sekali kerana ia membabitkan penyeludupan samsu, arak dan sebagainya,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan empat lelaki maut dan seorang buta, 18 Jun lalu, akibat meminum arak seludup yang disyaki mengandungi bahan kimia beracun metanol di Johor Bahru.

Mangsa yang maut ialah seorang lelaki tempatan dan tiga warga asing masing-masing dari India, Nepal serta Pakistan, berusia antara 30 hingga 36 tahun.

Kesemua mereka meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Ismail dan Hospital Sultanah Aminah (HSA), manakala seorang lagi mangsa yang menjadi buta adalah warga tempatan berusia dalam lingkungan 30-an.

4788 dibaca
Berita Harian X