Rabu, 26 Jun 2019 | 6:36pm
ANGGOTA Bomba dan Penyelamat membersihkan sisa tumpahan raksa dari merkuri pecah berikutan termometer jatuh ke lantai dalam kejadian di kelas sekolah Rendah Islam Seri Ar-Rahmah Solok Gaung, Ayer Molek. - Foto ihsan bomba

Termometer pecah, enam murid dirawat di klinik kesihatan

MELAKA: Seramai enam murid Sekolah Rendah Islam Seri Ar-Rahmah Solok Gaung, Ayer Molek, di sini, dikejarkan ke klinik kesihatan berhampiran selepas mual dan pening dipercayai kesan tumpahan merkuri dari termometer pecah di satu kelas sekolah terbabit hari ini.

Difahamkan kejadian berlaku kira-kira jam 11 pagi ketika 25 murid Tahun Lima mengikuti kelas Sains dalam bilik darjah berikutan sekolah terbabit tidak mempunyai kemudahan makmal.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Katil, Penolong Kanan Penguasa Bomba Alias Ahmad, berkata kejadian berlaku ketika ketiadaan guru dalam kelas terbabit dan dipercayai murid bermain-main sehingga termometer jatuh ke lantai dan pecah.


ANGGOTA Bomba dan Penyelamat melakukan proses menyahcemar bagi memastikan semua mangsa bebas daripada pencemaran raksa dari merkuri pecah berikutan termometer jatuh ke lantai dalam kejadian di sekolah Rendah Islam Seri Ar-Rahmah Solok Gaung, Ayer Molek. - Foto ihsan bomba

“Berdasarkan maklumat yang saya peroleh, murid tidak memberitahu guru mengenai kejadian itu dan guru hanya menyedari termometer pecah selepas mendapati alatan terbabit tiada atas meja.

“Sejurus menyedari termometer pecah, guru terbabit segera menghubungi bomba dan memindahkan semua murid ke surau di sekolah menengah berhampiran, kerana bimbang kesan dari tumpahan merkuri,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, pihaknya menerima laporan pada jam 12.17 tengah hari dan tiba di lokasi kejadian 11 minit kemudian.

Sebuah jentera bomba serta van Bantuan Perkhidmatan dan Kecemasan (EMRS) dengan kekuatan enam anggota dikejarkan ke lokasi.

“Anggota bomba bertindak pantas dengan melakukan kuarantin, sebelum proses menyahcemar bagi memastikan semua mangsa bebas daripada pencemaran raksa.

“Enam murid yang mengalami mual dan pening iaitu kebanyakannya dari kelas lain, di hantar ke Klinik Kesihatan Ayer Molek menggunakan jentera EMRS dan ambulans Kementerian Kesihatan,” katanya.

Beliau berkata, operasi nyahcemar selesai pada jam 12.53 tengah hari.

344 dibaca
Berita Harian X