Rabu, 26 Jun 2019 | 12:47pm

Guru agama terlepas hukuman penjara 6 bulan

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, mengekalkan sabitan terhadap seorang guru agama selepas dia didapati bersalah mencederakan kaki muridnya yang berusia 11 tahun dengan menggunakan rotan selepas enggan menunaikan solat.

Bagaimanapun, Muhammad Adib Abd Halim, 25, hanya perlu menjalani hukuman penjara sehari bermula hari ini selepas Hakim Datuk Abdul Halim Aman menggantikan hukuman penjara enam bulan yang dikenakan terhadapnya sebelum ini oleh Mahkamah Majistret Kajang.

Mahkamah Tinggi kemudian memerintahkan jumlah denda RM2,000 yang perlu dibayar dinaikkan kepada RM4,000.

Prosiding rayuan berkenaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, R Pushparasi, manakala tertuduh diwakili peguam Khairul Amin Abdullah.

Pada 16 November tahun lalu, Mahkamah Majistret Kajang mengenakan hukuman penjara enam bulan dan denda RM2,000 terhadap tertuduh.

Muhammad Adib dikenakan hukuman itu oleh Majistret Nor Afidah Idris selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Muhammad Adib dituduh mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara setahun dan denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Mahkamah Majistret bagaimanapun membenarkan permohonan Khairul Amin bagi penggantungan pelaksanaan hukuman penjara sementara memfailkan notis rayuan di Mahkamah Tinggi, namun memerintahkan tertuduh membayar denda itu serta-merta atau dipenjara tiga bulan jika gagal membayar denda.

Tertuduh membayar denda terbabit.

Seramai 12 saksi pendakwaan dan empat saksi pembelaan termasuk tertuduh dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan.

Pada 28 Ogos 2017, Muhammad Adib mengaku tidak bersalah dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap murid darjah lima itu di bahagian kaki kiri dan kanannya dalam kelas di sebuah sekolah rendah di Bandar Seri Putra, Hulu Langat, pada jam 2.25 petang, 16 Ogos 2017.

Berita Harian X