Selasa, 25 Jun 2019 | 10:20pm
SEORANG pemandu jengkaut maut selepas kepalanya tersepit pada tingkap jengkaut yang dikendalikannya di kawasan sawah di Bukit Chawi, Kampung Gajah, hari ini. - Foto ihsan pembaca

Lelaki maut kepala tersepit tingkap jengkaut

KAMPUNG GAJAH: Seorang pemandu jengkaut maut selepas kepalanya tersepit pada tingkap jengkaut yang dikendalikannya di kawasan sawah di Bukit Chawi di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 10.15 pagi, Mohamad Redzuan Abdullah, 27, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala. Difahamkan, nahas berlaku selepas mangsa dikatakan diserang sawan ketika sedang berkerja.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Zainal Abdullah, berkata polis yang tiba di lokasi kejadian selepas menerima maklumat kejadian itu mendapati jentera berkenaan berada kira-kira 100 meter dari jalan batas sawah.

Menurutnya, kepala mangsa yang duduk di kabin bahagian pemandu sudah terkeluar di tingkap sebelah kanan dan sudah tersepit antara tingkap dan bahagian ‘lengan’ jengkaut.

“Kejadian itu menyebabkan bahagian kanan kepala mangsa pecah, namun hasil siasatan awal di tempat kejadian mendapati tiada sebarang unsur jenayah.

“Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Changkat Melintang untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada waris untuk urusan pengebumian,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, kejadian itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

2344 dibaca
Berita Harian X