Selasa, 25 Jun 2019 | 12:47pm

CEO, pegawai kanan syarikat sisa pepejal direman

ALOR SETAR: Seorang Ketua Pegawai Eksekutif bersama Ketua Jabatan Kontrak dan Perolehan sebuah syarikat konsesi pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam direman empat hari bermula hari ini, bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Penolong Pendaftar Mahkamah Alor Setar, Rashidah Azmi membenarkan permohonan SPRM ke atas kedua-dua suspek iaitu lelaki dan wanita berusia 50 dan 34 tahun yang ditahan petang semalam di pejabat SPRM Kedah.

Mereka dikatakan ditahan ketika hadir bagi memberi keterangan berhubung siasatan penerimaan rasuah dalam pemberian kontrak kerja dan pengubahsuaian rumah kedai sejak 2015.

Terdahulu, suspek tiba di lokap Kompleks Mahkamah Alor Setar mahkamah diiringi anggota SPRM negeri sekitar jam 10.30 pagi.

Sementara itu, sumber SPRM berkata, suspek ditahan antara jam 6.37 hingga 6.43 petang semalam.

“Siasatan menjurus kepada penerimaan rasuah dalam pemberian kontrak kerja dan pengubahsuaian rumah kedai sejak empat tahun lalu.

“Suspek disiasat mengikut Seksyen 16 (a) SPRM 2009,” katanya.

Beliau berkata, sejak dua hari lalu, beberapa pihak khususnya kontraktor sudah menghantar bantahan kerana ketidakpuasan hati berhubung pengagihan kontrak kepada beberapa pihak disyaki mempunyai kaitan dengan seorang daripada suspek terbabit.

Malah, dikatakan wujud penyelewengan dalam proses pembahagian tender menyebabkan syarikat tidak memenuhi kriteria termasuk dari aspek jumlah lori dan pekerja yang mencukupi, berjaya dipilih.

Syarikat yang tidak terpilih pula dikehendaki menjalankan kerja pengutipan sisa pepejal sebagai sub-kontraktor kepada pihak yang terpilih walaupun ia tidak melengkapi kriteria dikehendaki.

Didapati anggaran projek bagi pengurusan sisa pepejal di Kedah dan Perlis berjumlah RM360 juta setahun.

Selain itu, suspek utama dan beberapa pihak yang terbabit dalam hal ini sudah menubuhkan satu tabung kelab yang kononnya untuk menjaga kebajikan syarikat terbabit.

Semua kontraktor yang berjaya dalam pemilihan tender diwajibkan menyumbang satu atau dua peratus daripada nilai projek ke dalam tabung ini dan dianggarkan setiap tahun, sebanyak RM3.6 juta (satu peratus daripada keseluruhan RM360 juta) akan disumbangkan dalam tabung ini.

Pihak SPRM percaya tabung ini sudah digunakan sebagai kaedah mengutip wang rasuah daripada kontraktor dan ia dipercayai bertujuan mengaburi pihak berkuasa.

Risikan selama lebih enam bulan mendapati tabung ini sudah diseleweng untuk membeli harta, kenderaan dan lawatan peribadi ke luar negara.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd Manap ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan, namun enggan mengulas lanjut.

5552 dibaca
Pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengiringi seorang wanita dan seorang lelaki ke Mahkamah Alor Setar untuk mendapat perintah tahanan reman bagi membantu siasatan kes penerimaan rasuah daripada kontraktor di dalam pemberian kontrak kerja dan pengubahsuaian rumah kedai. - Foto Amran Hamid
Berita Harian X