Selasa, 25 Jun 2019 | 11:00am
Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Kemelut tender sampah Kedah, Perlis; dua individu ditahan SPRM

KUALA LUMPUR: Kemelut agihan tender kutip sampah oleh syarikat pengurusan sisa pepejal bagi Kedah dan Perlis memasuki episod baharu apabila seorang ketua pegawai eksekutif (CEO) dan seorang individu lain ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), semalam.

CEO berusia 50 tahun dan pengurus kontrak dan perolehan berusia 34 tahun ditahan petang semalam di Alor Setar bagi membantu siasatan berhubung perolehan tender dan kewujudan satu tabung kelab berunsurkan rasuah.

Difahamkan, penahanan itu berlaku selepas beberapa kontraktor menghantar bantahan kerana tidak puas hati berhubung pengagihan kontrak kepada beberapa kroni CEO terbabit.

Sebelum ini, syarikat itu juga dikatakan menekan kakitangan dengan merampas telefon bimbit serta laptop berikutan penyebaran bukti salah guna kuasa ini.

Sumber berkata, anggaran projek bagi pengurusan sisa pepejal di kedua-dua negeri itu berjumlah RM360 juta setahun.

Katanya, siasatan mendapati pihak yang terbabit dikesan menubuhkan satu tabung kelab yang kononnya untuk menjaga kebajikan syarikat-syarikat kontraktor.

“Semua kontraktor yang berjaya dalam tender diwajibkan untuk menyumbangkan satu hingga dua peratus daripada nilai projek ke dalam tabung ini dan dianggarkan setiap tahun, sebanyak RM3.6 juta, dipercayai satu peratus daripada keseluruhan RM360 juta disumbangkan dalam tabung ini.

“Tetapi risikan SPRM selama lebih enam bulan mendapati tabung ini disalahgunakan untuk membeli harta, kenderaan dan lawatan peribadi ke luar negara,” kata sumber.

Mengulas lanjut, sumber berkata, SPRM percaya tabung ini sebenarnya digunakan sebagai kaedah mengutip wang rasuah daripada kontraktor, bertujuan mengaburi pihak berkuasa.

Selain itu, penyelewengan dalam proses tender dikesan mengakibatkan syarikat yang tidak memenuhi syarat dipilih, terutama berkaitan jumlah pekerja yang mencukupi dan keupayaan lori.

“Syarikat yang memenuhi syarat tidak dipilih dan sebaliknya dikehendaki menjalankan kerja mengutip sisa pepejal sebagai subkontraktor kepada pihak yang terpilih tetapi tiada kelengkapan,” katanya.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi), Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan penahanan tetapi beliau enggan mengulas lanjut.

BH difahamkan, siasatan dijalankan di bawah seksyen 16 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan kedua-dua suspek yang ditahan akan dibawa ke Mahkamah Majistret Alor Setar hari ini untuk permohonan reman di bawah seksyen 117 Kanun Acara Jenayah.

Berita Harian X