Selasa, 25 Jun 2019 | 6:47am
Anggota bomba berusaha mengeluarkan mangsa di dalam sebuah kereta jenis Perodua Myvi selepas bertembung dengan sebuah bas pesiaran di Jalan Gerik - Baling, petang semalam. - Foto ihsan Bomba

Kereta pandu laju korban tiga lelaki, seorang parah

Gambar ihsan bomba

GERIK: Kemalangan di Kilometer 6.5 Jalan Gerik - Kupang, dekat sini petang semalam, yang mengorbankan tiga mangsa berpunca daripada kereta dipandu laju sehingga merempuh sebuah bas.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Ismail Che Isa, berkata siasatan awal mendapati dalam kejadian pada jam 4.20 petang itu, kereta dinaiki empat mangsa dalam perjalanan dari Pulau Pinang menghala ke Gerik manakala bas persiaran dipandu lelaki berusia 46 tahun dalam perjalanan dari Kelantan menghala ke Pulau Pinang.

Katanya, siasatan mendapati kereta berkenaan dipandu dengan kelajuan tinggi sebelum hilang kawalan sebaik tiba di lokasi kejadian.

“Susulan itu, kereta berkenaan memasuki ke laluan bertentangan sebelum merempuh bas terbabit,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, akibat kemalangan itu, pemandu dan dua penumpang masing-masing berusia 24 tahun maut di lokasi kejadian.

“Seorang lagi penumpang berusia 23 tahun parah di bahagian kepala dan dirawat di Hospital Gerik manakala pemandu serta sembilan penumpang tidak cedera,” katanya.


Keadaan bas pesiaran yang bertembung dengan sebuah kereta jenis Perodua Myvi di Jalan Gerik - Baling, petang semalam. - Foto ihsan Bomba

Ismail berkata, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik hospital sama untuk bedah siasat.

Menurutnya, bagaimanapun bedah siasat akan dijalankan selepas polis mengenal pasti waris ketiga-tiga mangsa.

“Sementara itu, siasatan di lokasi kejadian mendapati jalan berkenaan adalah menuruni bukit dan berselekoh manakala kereta dinaiki empat mangsa itu mengalami kerosakan teruk di seluruh bahagian hadapannya.

Dalam kemalangan itu, tiga mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Tengku Khairul Amirin Tengku Kamarudin, Mohamad Syahidi Ahamad Kamil dan Mohamad Shazlimie Mohd Rosli, yang ketiga-tiganya berusia 24 tahun.

Mangsa yang parah pula dikenal pasti sebagai Mohamad Shahrin Rasid, 23, penumpang di bahagian belakang kereta itu dan mengalami kecederaan di kepala dan kaki.

2791 dibaca
Berita Harian X