Isnin, 24 Jun 2019 | 11:16pm
Seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun menahan sakit hampir 20 minit selepas kaki kirinya tersepit di antara besi engkol pedal dan palang rantai basikal yang ditunggangnya.

Kanak-kanak cemas kaki tersepit di basikal

KUALA LUMPUR: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun terpaksa menahan sakit hampir 20 minit selepas kaki kirinya tersepit di antara besi engkol pedal dan palang rantai basikal yang ditunggangnya, lewat petang tadi.

Kanak-kanak terbabit dikatakan sedang bermain basikal di taman permaianan berhampiran Blok 3 Pangsapuri Teratai, Taman Bukit Subang dekat sini sebelum kakinya tersepit.

Cubaan beberapa penduduk untuk mengeluarkan kaki kanak-kanak itu gagal memaksa mereka meminta bantuan pasukan bomba.

Bomba yang menerima laporan kejadian pada jam 7.01 malam, menghantar enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Buloh diketuai Komander Operasi, Pegawai Bomba Zairul Afzan Ishak.

Zairul Afzan ketika dihubungi BH, memberitahu anggotanya mengambil masa tidak sampai 10 minit untuk mengeluarkan kaki kanak-kanak terbabit.

“Kita gunakan beberapa peralatan khas yang kita bawa untuk membebaskan kaki mangsa.. tidak sampai 10 minit.

“Mangsa hanya cedera ringan dan kita serahkan kepada penjaganya,” kata beliau.

599 dibaca
Berita Harian X