Isnin, 24 Jun 2019 | 8:56pm
Anggota bomba berusaha mengeluarkan mangsa selepas bertembung dengan sebuah bas persiaran di Jalan Gerik-Baling, petang tadi. - Ihsan Bomba

Tiga maut, seorang parah kereta bertembung bas

GERIK: Tiga maut manakala seorang parah dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dan sebuah bas persiaran di Jalan Gerik-Baling, petang tadi.

Kesemua mangsa menaiki kereta Perodua Myvi dengan tiga maut di lokasi kejadian, manakala mangsa yang parah dihantar ke Hospital Gerik untuk mendapatkan rawatan.

Setakat jam 8 malam ini, dua mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Tengku Khairul Amirin Tengku Kamarudin dan Mohamad Syahidi Ahamad Kamil, kedua-duanya berusia 24 tahun, manakala seorang lagi yang maut belum dikenal pasti.

Mangsa yang parah pula dikenal pasti sebagai Mohamad Shahrin Rasid, 23, penumpang di bahagian belakang kereta itu dan mengalami kecederaan di kepala dan kaki.

Difahamkan, kereta berkenaan dalam perjalanan dari Pulau Pinang melalui Baling menuju ke Kota Bharu, Kelantan, manakala bas persiaran dari arah Gerik menuju ke Pulau Pinang.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.11 petang dan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Gerik bergegas ke lokasi kejadian.


Keadaan bas persiaran selepas bertembung dengan Perodua Myvi di Jalan Gerik-Baling, petang tadi. - Ihsan Bomba

“Sebaik tiba, anggota mendapati terdapat empat mangsa yang menaiki Perodua Myvi dengan tiga daripadanya disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan seorang lagi parah.

“Sementara, pemandu dan penumpang bas persiaran yang terdiri daripada pelancong tidak mengalami kecederaan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Katanya, pasukan bomba diketuai Ketua Operasi Kamarul Ariffin Abd Ghani kemudian mengeluarkan semua mangsa yang tersepit menggunakan peralatan menyelamat dan menyerahkan mangsa yang maut kepada pihak polis untuk tindakan lanjut, sementara yang cedera diserahkan kepada pasukan perubatan.

Beliau berkata, operasi pasukan itu tamat pada jam 6.28 petang.

2571 dibaca
Berita Harian X