Isnin, 24 Jun 2019 | 4:54pm

Sindiket dadah terbesar di Selangor tumpas, dadah RM27.8 juta dirampas

SHAH ALAM: Sindiket dadah terbesar di Selangor tumpas selepas polis merampas dadah jenis Methamphetamine seberat 556.2 kilogram (KG) dianggarkan bernilai RM27.8 juta dibungkus dalam paket teh Cina di sebuah rumah dua tingkat di Subang Jaya, Jumaat lalu.

Serbuan dijalankan kira-kira jam 3 petang oleh sepasukan polis Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor hasil risikan dan maklumat mengenai rumah terbabit dipercayai dijadikan stor penyimpanan dadah.

Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin, berkata pemeriksaan mendapati 85 bungkus dadah Methampethamine dibungkus dalam paket teh cina ditemui di ruang tamu kediaman berkenaan.

Beliau berkata, siasatan lanjut juga menemui 455 bungkus dadah dalam paket teh Cina disembunyikan dalam sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Alphard di kawasan parkir rumah berkenaan.

“Hasil serbuan, polis menahan dua lelaki tempatan berusia 18 dan 28 tahun yang bekerja sebagai penjaga kediaman terbabit.

“Polis turut menyita kenderaan digunakan sindiket dianggarkan bernilai RM50,000,” katanya pada sidang media di IPK Selangor, di sini, hari ini.

Noor Azam berkata, semua tangkapan direman tujuh hari sehingga Jumaat ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati rumah berkenaan disewa kira-kira dua bulan lalu oleh sindiket dan dijadikan stor penyimpanan dadah sejak 18 hari sebelum diserbu polis.

Mengulas lanjut, beliau berkata harga dadah satu kilogram dibungkus dalam teh Cina itu dianggarkan bernilai RM50,000, namun ia boleh mencecah ratusan ribu jika dipasarkan di luar negara.

“Dadah ini dipercayai diperoleh dari sekitar Lembah Klang untuk pasaran tempatan, selain turut dieksport ke negara Asia.

“Jumlah keseluruhan dadah dirampas ini dipercayai untuk kegunaan kira-kira 2.7 juta penagih dadah,” katanya.

436 dibaca
KETUA Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin (tiga dari kanan) menunjukkan pada sidang media di IPK Selangor, hari ini. - Foto Sairien Nafis
Berita Harian X