Ahad, 23 Jun 2019 | 4:05pm
ANGGOTA bomba mengangkat mangsa yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 51 Jalan Gua Musang-Kuala Krai, di Gua Musang, hari ini. - Foto ihsan bomba

Seorang maut, 6 cedera kereta terjunam gaung

GUA MUSANG: Seorang lelaki warga emas maut dan enam lagi cedera, termasuk bayi berusia dua bulan, apabila kereta dinaiki tujuh sekeluarga itu terjunam ke dalam gaung di Kilometer 51 Jalan Gua Musang-Kuala Krai, di sini, hari ini.

Dalam nahas jam 7.15 pagi berdekatan Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) Paloh itu, Nik Soh Raja Bedullah, 68, yang duduk di bahagian penumpang hadapan, meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Mohd Taufik Maidin, berkata kemalangan berlaku ketika keluarga terbabit dalam perjalanan dari Gua Musang menghala ke Kuala Krai.

Setiba di lokasi kejadian, katanya, kereta Perodua Myvi berkenaan dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke kiri jalan dan terjunam ke gaung sedalam lima meter.


KEADAAN kenderaan yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 51 Jalan Gua Musang-Kuala Krai, di Gua Musang, hari ini. - Foto ihsan bomba

Beliau berkata, kemalangan itu menyebabkan Nik Soh cedera parah di kepala serta badan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit,” katanya dalam satu kenyataan.

Mangsa yang cedera ialah pemandu kereta terbabit, Nik Muhammad Khairil Azmi Mohd Ashari, 26; Ramlah Ab Razak, 56; Nik Mohamad Eppi Nik Soh; 24; Nik Nur Shahira Mohd Sapiri, 13; Nik Atikah Nik Aziz, 21; dan Muhammad Irfan Rayyan Nik Mohamad Eppi berusia 2 bulan.

Mohd Taufik berkata, kesemua mereka yang cedera itu menerima rawatan di Klinik Kesihatan Chiku 3, manakala mayat mangsa pula dibawa ke Hospital Gua Musang (HGM) bagi bedah siasat sebelum dituntut keluarga untuk dikebumikan.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X