Jumaat, 21 Jun 2019 | 5:23pm
PEGUAM Negara, Tommy Thomas. - Foto Abd Rahim Rahmat

Pendakwaan mohon 1MDB ditangguh

KUALA LUMPUR: Pendakwaan memohon kes pengubahan wang haram dan menyalahgunakan kedudukan membabitkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dihadapi Datuk Seri Najib Razak ditangguhkan.

Peguam Negara Tommy Thomas yang membuat permohonan penangguhan buat kali ketiga memberitahu Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah, ia berikutan perbicaraan kes pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram membabitkan SRC International masih berlangsung.

Tommy berkata, pendakwaan tidak mungkin dapat selesai mendengar semua keterangan saksi pada 15 Ogos ini dan seterusnya membolehkan pasukan pendakwaan bagi kes 1MDB memulakan prosiding pada 19 Ogos.

Katanya, buat masa ini pendakwaan sudah mendengar keterangan 42 saksi dan akan memanggil 25 saksi lagi bagi kes SRC International.

Perbicaraan kes SRC International bersambung dengan saksi pendakwaan ke-42, bekas Pengarah SRC Datuk Suboh Md Yassin menyambung keterangan pada 1 Julai depan.

“Perbicaraan kes ini berjalan dengan agak lambat daripada yang dijangkakan, oleh itu perbicaraan kes 1MDB hendaklah ditangguhkan kepada 1 Oktober,” katanya.

Sehubungan itu Tommy memohon supaya tarikh perbicaraan 1MDB pada Ogos dan September dilapangkan.

Sequerah mulanya mencadangkan supaya kes perbicaraan SRC dan 1MDB berjalan serentak, bagaimanapun Tommy berkata tindakan itu agak menyusahkan.

“Kami mempunyai pasukan berbeza bagi kedua-kes sedangkan pembelaan hanya satu pasukan.

“Tertuduh juga perlu berada dalam dua kandang tertuduh pada satu masa... prinsipnya kes kedua tidak boleh bermula sehingga bicara kes pertama selesai,” katanya.

Sequerah kemudian memerintahkan Tommy untuk kembali pada 15 Julai ini dan memberikan perkembangan mutakhir mengenai perbicaraan SRC.

Najib menghadapi empat tuduhan mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan 21 tuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank Bhd, No 55, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon, antara 2011 dan 2014.

Sementara itu di Mahkamah Tinggi berasingan, Timbalan Pendakwa Raya Budiman Lutfi Mohamed memaklumkan pihaknya sudah menyerahkan 26 jilid dokumen mengandungi lebih 200 muka surat kepada peguam bela dalam kes pengubahan wang haram dihadapi Najib.

Ia membabitkan tiga tuduhan tambahan berkaitan dana SRC berjumlah RM27 juta.

Menurut Budiman, kesemua dokumen itu diserahkan semalam.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan kemudian menetapkan pada 7 April tahun depan bagi pengurusan kes..

Najib diwakili peguam Syahirah Hanafiah.

Sementara itu, ketika ditemui pemberita selepas prosiding, Budiman berkata pihak pendakwaan akan memanggil kira-kira 30 saksi memberikan keterangan.

Berita Harian X