Jumaat, 21 Jun 2019 | 5:06pm
KEADAAN pondok tol selepas dirempuh sebuah treler di Plaza Tol Ayer Keroh, pagi tadi. - Foto Zuhairi Zuber

Treler rempuh pondok tol

AYER KEROH: Seorang jurutol wanita cedera di pinggang serta tersepit selepas pondok tol tempatnya bertugas dirempuh sebuah treler 28 tan di Plaza Tol Ayer Keroh, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian pada jam 11.30 pagi, mangsa berusia 48 tahun dilaporkan sedang bertugas di dalam pondok tol di lorong paling kiri sebelum treler membawa muatan sawit dalam perjalanan dari Tangkak, Johor, menghala ke Jeti Tanjung Beruas, Melaka, merempuh pondok terbabit ketika sedang memasuki lorong kedua paling kiri.

Pemandu treler R Murali, 50, ketika ditemui di tempat kejadian berkata, dia tidak menyangka bahagian sisi treler agak berlebihan daripada kebiasaan sehingga tersangkut sebaik melalui lorong di pondok tol berkenaan.

Malah, pemandu lori itu turut mengaku sebelum kejadian dia disaman oleh penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kerana kesalahan tayar tanpa bunga di Tangkak, Johor.

“Nasib tidak menyebelahi saya sebaik melalui lorong di Plaza Tol Ayer Keroh, sebelum terdengar bunyi dentuman yang kuat di bahagian kiri treler.

“Saya segera menghentikan treler dan terus meluru ke pondok tol bagi melihat kejadian yang berlaku. Saya lihat jurutol wanita sedang tersepit dan menangis akibat kesakitan, sebelum membantunya keluar,” katanya.


KEADAAN pondok tol selepas dirempuh sebuah treler di Plaza Tol Ayer Keroh, pagi tadi. - Foto Zuhairi Zuber

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri, Superintendan Hasan Basri Yahya, berkata kejadian berlaku sejurus pemandu treler selesai membuat pembayaran di Plaza Tol Ayer Keroh di lorong kedua paling kiri.

"Selepas selesai membuat pembayaran, pemandu treler terlanggar sebuah pondok di Plaza Tol menyebabkan pondok itu roboh dan terkena seorang jurutol.

"Mangsa sudah dibawa ke Hospital Melaka dan hanya mengalami kecederaan ringan di pinggang. Kes disiasat mengikut Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Jalan Raya 166/ 59," katanya ketika dihubungi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Keroh, Mohd Hamdan Sudin, pula berkata jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Keroh, dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada jam 12.08 minit tengah hari.

“Unit EMRS menghantar mangsa wanita berusia 48 tahun ke Hospital Melaka selepas mengadu sakit di bahagian pinggang. Tindakan awal memakaikan ‘Cevicial Coller’ kepadanya dibuat kerana bimbang berlaku kecederaan di bahagian leher,” katanya.

Dalam pada itu, jurucakap PLUS Malaysia Berhad (PLUS) ketika dihubungi, berkata kejadian kemalangan itu menyebabkan laluan di kedua-dua arah masuk dan keluar di Plaza Tol Ayer Keroh sesak teruk.

“Siasatan awal mendapati pemandu treler tidak memasuki lorong tol paling kiri yang dikhususkan kepada muatan lebar, tetapi memasuki di lorong tol di kedua paling kiri menyebabkan kenderaan itu tersangkut di pondok tol,” katanya.

878 dibaca
Berita Harian X