Jumaat, 21 Jun 2019 | 4:29pm
PENGERUSI Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar Johor, Tosrin Jarvanthi menyampaikan sumbangan kepada Ananurzawanah di Hospital Sultan Ismail (HSI). - Foto ihsan Pejabat EXCO

Hidu bau pelik sebelum sesak nafas

PASIR GUDANG: “Saya dan beberapa rakan terhidu bau pelik sebelum rasa mual dan muntah,” kata Ananurzawanah Abdul Wahid, 9, seorang daripada 15 mangsa dipercayai kes pencemaran udara di Taman Mawar di sini, semalam.

Murid Sekolah Agama Taman Mawar (SATM) yang dimasukkan ke Hospital Sultan Ismail (HSI) itu berkata, keadaan semakin teruk apabila dia melihat beberapa rakannya turut rebah dan pitam.

“Cikgu segera membawa kami ke sebuah bilik untuk berehat. Tidak lama kemudian, kami dimandikan sebelum dihantar ke hospital menggunakan ambulans untuk rawatan lanjut.

“Ini kali kedua saya rasa begini. Sebelum ini, saya rasa pening dan mual juga ketika pencemaran Sungai Kim Kim, namun keadaan tidak teruk dan saya tidak dimasukkan ke hospital,” katanya selepas menerima kunjungan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar Johor, Tosrin Jarvanthi di HSI di sini, hari ini.

Tosrin menyampaikan sumbangan Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) berjumlah RM400 kepada murid SATM yang dimasukkan ke hospital akibat kejadian itu.

Dalam kejadian petang semalam, 15 mangsa dari Sekolah Kebangsaan Pasir Gudang 4 (SKPG4) dan SATM, selain dua kakitangan sekolah itu, mengalami simptom sesak nafas serta muntah, dimasukkan ke Hospital Sultan Ismail (HSI).

Sementara itu, ibu Ananurzawanah, Masni Salawati Nazar, 39, yang tinggal di Taman Mawar berkata, dia menyedari kejadian menimpa anak bongsu daripada tiga beradik itu ketika mahu menjemputnya dari sekolah petang semalam.

“Saya bersyukur cikgu mengambil tindakan pantas memandikan anak saya. Alhamdulillah, keadaannya sudah stabil dan dibenarkan keluar hari ini,” katanya.

Berita Harian X