Jumaat, 21 Jun 2019 | 3:38pm
KETUA Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

29 dipercayai mangsa pencemaran udara sudah dirawat

PUTRAJAYA: Seramai 29 mangsa di Pasir Gudang, Johor, sudah menerima rawatan termasuk enam dimasukkan ke wad, selepas mengalami gejala sesak nafas dan muntah dipercayai akibat pencemaran udara.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata setakat jam 10 pagi tadi, mangsa terbabit meliputi 21 perempuan dan lapan lelaki.

Beliau berkata, mereka adalah 14 pelajar dan dua dewasa daripada Sekolah Agama Taman Mawar (SATM), manakala 13 lagi murid Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Gudang (4).

“Seramai 14 mangsa sudah dirawat sebagai pesakit luar dan 15 lagi menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru, dengan enam daripada mereka dimasukkan ke wad.

“Semua pesakit kini dalam keadaan stabil. Tidak ada kes dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) dan tiada kematian dicatatkan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan Kementerian Kesihatan tidak menolak kemungkinan kejadian sesak nafas dan muntah, semalam, seakan-akan sama dengan simptom kesan pencemaran di Sungai Kim Kim pada Mac lalu.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, pihaknya sedang bekerjasama dengan kementerian dan agensi berkaitan dalam usaha menguruskan insiden itu.

Beliau berkata, Jabatan Kesihatan Johor juga masih melakukan pemantauan di lapangan berikutan kejadian berkenaan.

“Orang ramai dinasihat mendapatkan rawatan segera di fasiliti kesihatan terdekat sekiranya mengalami gejala kesesakan nafas, loya, muntah, pening, sakit kepala, kekejangan otot dan lemah badan.

“Klinik Kesihatan Pasir Gudang turut dibuka pada pagi ini bagi menerima dan merawat mangsa lain yang mungkin terkesan susulan kejadian itu,” katanya.

203 dibaca
Berita Harian X