Khamis, 20 Jun 2019 | 9:14pm
TEMPAT kejadian murid terhidu udara tercemar di Sekolah Agama Taman Mawar, Pasir Gudang. NSTP/Zain Ahmed

Kualiti udara normal, siasatan lanjut diteruskan

PASIR GUDANG: Pemeriksaan kualiti udara di kawasan Sekolah Kebangsaan Pasir Gudang 4 dan Sekolah Agama Taman Mawar di sini, mendapati ia berada pada tahap normal.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Mohd Khuzzan Abu Bakar, berkata pihak berkuasa masih menyiasat lanjut punca murid di kedua-dua sekolah itu mengalami simptom sesak nafas dan muntah, petang tadi.

“Pihak berkuasa seperti Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT) bomba, Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Kimia akan menyiasat lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian itu.

“Selain itu, murid yang terjejas juga akan menjalani ujian darah bagi mengetahui apa sebenarnya yang berlaku,” katanya pada sidang media di Sekolah Agama Taman Mawar, dekat sini, sebentar tadi.

Secara keseluruhan, sehingga jam 8 malam tadi, seramai 27 orang dimasukkan ke Hospital Sultan Ismail Johor Bahru, terdiri daripada 17 murid Sekolah Agama Taman Mawar serta seorang pekerja kantinnya, manakala sembilan lagi murid SK Pasir Gudang 4.

Mengulas lanjut, Mohd Khuzzan berkata, insiden itu terkawal dan penduduk tidak perlu panik kerana keadaan kali ini berbeza dengan tragedi pencemaran toksik Sungai Kim Kim awal Mac lalu.

“Sehingga kini, tidak ada keperluan untuk membuka bilik gerakan. Namun, pemantauan berterusan akan dijalankan mulai malam ini sehingga Sabtu ini,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Tosrin Jarvanthi, yang turut meninjau keadaan Sekolah Agama Taman Mawar, berkata Majlis Agama Islam Negeri Johor akan memberi bantuan segera kepada mangsa yang terjejas.

“Mangsa yang dirawat di hospital akan menerima bantuan RM400 setiap seorang, manakala mangsa yang terjejas tetapi tidak dimasukkan ke hospital akan menerima RM200,” katanya.

Berita Harian X