Khamis, 20 Jun 2019 | 3:39pm
Seorang lelaki warga Indonesia maut ditikam rakan sekerjanya dipercayai akibat perselisihan faham akibat hutan di Apartmen Desa Mentari Petaling Jaya disini, semalam. - Foto ihsan Pembaca

Suspek kes pembunuhan lelaki warga Indonesia ditahan

PETALING JAYA: Polis menahan seorang lelaki berusia 61 tahun disyaki suspek utama kes pembunuhan seorang buruh warga Indonesia di Apartmen Desa Mentari, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din, berkata suspek yang berasal dari Sabah itu ditahan di sebuah restoran di Rawang, pada jam 11.55 pagi tadi.

“Turut dirampas daripada suspek, sebuah motosikal jenis Lagenda, nombor pendaftaran WXP 2650 dan sebilah pisau berukuran lebih kurang 20 sentimeter.

“Suspek mengaku terbabit dengan kejadian pembunuhan semalam, punca kejadian disebabkan tindakan mangsa yang enggan membayar upah ubah suai rumah,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Semalam, BH melaporkan seorang buruh binaan warga Indonesia dikenali sebagai Idris, 45, maut ditikam seorang lelaki di hadapan surau Blok 2, Apartmen Desa Mentari.

Mohd Zani dilaporkan berkata, dalam kejadian jam 11.30 pagi itu, mangsa keluar minum pagi bersama suspek yang juga rakannya sebelum ditikam dengan menggunakan senjata tajam.

“Suspek kemudian melarikan diri, manakala mangsa maut di lokasi kejadian.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan mayat mangsa dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat,” katanya.

Berita Harian X