Khamis, 20 Jun 2019 | 11:10am

Seorang maut, tiga parah kereta terbabas

JERANTUT: Seorang pelatih GiatMARA Jerantut maut, manakala tiga rakannya parah dalam kemalangan di Kilometer 8, Jalan Jerantut-Temerloh, dekat Kampung Temin, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.15 malam itu, Muhamad Mazrul Umar, 18, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS), Temerloh jam 4.30 pagi tadi.

Tiga lagi mangsa yang cedera parah dikenali sebagai Ruzaini Abdullah, 24; Muhammad Aiman Zulkefli, 19 tahun dan Muhammad Izwan Syafar Mohamad Izaini, 19.

Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintenden Mazlan Hassan berkata, kereta jenis Ford Laser dinaiki empat pelatih GiatMARA Jerantut itu dipercayai dipandu laju sebelum terbabas.

“Kereta dipandu Ruzaini dipercayai hilang kawalan dan melanggar tiang elektrik yang berada di sebelah kiri jalan dari arah Jerantut menghala ke Temerloh.

“Kenderaan mereka remuk teruk dan semua mangsa tersepit dalam kenderaan itu,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata, mangsa dikeluarkan dari kereta berkenaan dengan bantuan pegawai dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) dari Balai Bomba dan Penyelamat Jerantut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1)Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat JerantutMohamad Zulkifli Mohamad Zainal berkata, pihak bomba menerima panggilan mengenai kejadian itu jam 8.13 malam dan tiba di lokasi kejadian kira-kira 10 minit kemudian.

Katanya, lapan pegawai dan anggota JBPM terpaksa menggunakan ‘power rescue unit’ dan mengambil masa kira kira 45 minit untuk mengeluarkan semua mangsa yang tersepit dalam kenderaan itu.

Berita Harian X