Khamis, 20 Jun 2019 | 10:45am

Perempuan punca pergaduhan sekumpulan remaja

KUANTAN: Akibat salah faham membabitkan seorang perempuan, seorang pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) dan dua rakannya dibelasah sekumpulan lelaki di ruang parkir restoran makanan segera, dekat Sungai Isap, di sini, tengah malam kelmarin.

Difahamkan, kejadian itu bermula selepas seorang lelaki mendakwa sebagai saudara kepada perempuan yang dikatakan bekas tunang pelajar IPT berusia 20 tahun itu menghubunginya untuk berjumpa.

Menurut sumber polis, mangsa dan rakannya tiba di kawasan parkir berkenaan kira-kira jam 12 tengah malam bagi bertemu lelaki terbabit.

"Ketika mangsa dan rakannya berada di situ, tiga kereta dinaiki kumpulan lelaki berkenaan menghampiri mangsa sebelum seorang daripadanya turut dan bertanyakan nama mangsa.

"Sebaik mangsa menjawab pertanyaan itu, lelaki terbabit mula membelasah mangsa sebelum disertai kira-kira 12 lagi suspek yang turut memukul rakan mangsa.

"Sekumpulan orang awam yang berada berhampiran lokasi kejadian berjaya meleraikan pergaduhan itu dan mangsa serta rakannya membuat laporan polis di Balai Polis Kuantan, kira-kira sejam selepas kejadian," katanya.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohammad Noor Yusuf Ali, berkata mangsa yang mengalami kecederaan sudah membuat laporan polis dan pihaknya sedang melakukan siasatan lanjut bagi mengetahui punca sebenar kejadian.

"Setakat ini, kita sudah menahan enam lelaki berusia antara 19 dan 20 tahun bagi membantu siasatan. Mereka ditahan antara jam 4.50 petang hingga 6.45 petang semalam.

"Tiga daripada suspek ditahan di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan pada jam 4.50 petang semalam dan kita turut merampas satu unit telefon pintar.

"Dua lagi suspek kita tahan di lokasi sama pada jam 6 petang sebelum seorang lagi ditangkap 45 minit kemudian ketika hadir ke IPD Kuantan untuk diambil keterangan," katanya.

Mohammad Noor berkata, masih terlalu awal untuk mengatakan pergaduhan itu berpunca daripada salah faham membabitkan seorang perempuan kerana pihaknya masih menjalankan siasatan.

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya

Klip video aksi pergaduhan itu yang dipercayai dirakam pelanggan restoran makanan segera terbabit mula tersebar di media sosial Facebook (FB) tengah malam tadi.

Rakaman video berdurasi 27 saat itu ditonton 95,000 kali sejak dipaparkan pada jam 11.35 malam di laman sosial FB 'Info Roadblock JPJ/POLIS' dan sehingga kini, rakaman itu juga mendapat 8,000 maklum balas dan 680 pengguna FB berkongsi video berkenaan.

SATU pergaduhan membabitkan dua kumpulan pemuda di perkarangan restoran makanan segera di perkampungan Sungai Isap malam tadi. - Foto ihsan pembaca
Berita Harian X