Rabu, 19 Jun 2019 | 3:08pm
Kemalangan yang membabitkan enam kenderaan di hadapan Petronas Taman PKNK, Alor Setar yang menyebabkan seorang wanita maut. - Foto ihsan Bomba

Wanita maut, rakan parah kemalangan enam kenderaan

ALOR SETAR: Seorang wanita maut, manakala rakannya parah selepas kereta yang dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan membabitkan enam kenderaan di hadapan sebuah stesen minyak di Taman PKNK, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 11.40 pagi tadi, Zareha Hamid, 52, dipercayai maut di tempat kejadian.

Zareha dan rakannya iaitu wanita berusia 50-an yang juga pemandu dipercayai tersepit di tempat duduk pemandu dan penumpang hadapan PERODUA Kancil.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Penyelamat dan Kebombaan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I, Mohamadul Ehsan Mohd Zain, berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 11.44 pagi berhubung kemalangan itu.


Kemalangan yang membabitkan enam kenderaan di hadapan Petronas Taman PKNK, Alor Setar yang menyebabkan seorang wanita maut. - Foto ihsan Bomba

Beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II Anuar Abdul Hamid bersama dua jentera termasuk Jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) tiba di lokasi jam 11.47 pagi.

“Setibanya di lokasi didapati kemalangan membabitkan enam kenderaan iaitu sebuah kereta jenis Hyundai Getz, Toyota Fortune, Ford, Honda CRV dan dua PERODUA Kancil di persimpangan lampu isyarat di tempat kejadian.


Kemalangan yang membabitkan enam kenderaan di hadapan Petronas Taman PKNK, Alor Setar yang menyebabkan seorang wanita maut. - Foto ihsan Bomba

“Ketika itu didapati terdapat dua wanita berusia sekitar 50-an dalam sebuah kereta PERODUA Kancil tersepit di tempat duduk masing-masing dan tindakan yang dilakukan anggota BBP Alor Setar adalah dengan mengeluarkan mereka dengan peralatan khas,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohamadul Ehsan berkata, mangsa iaitu penumpang disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi kejadian.

“Rakan mangsa yang cedera parah dihantar ke hospital dengan ambulans untuk menerima rawatan.

“Beberapa lagi mangsa dari semua kenderaan yang terbabit dalam kemalangan itu dipercayai hanya mengalami kecederaan ringan,” katanya.

2952 dibaca
Berita Harian X