Rabu, 19 Jun 2019 | 1:16pm
Sebahagian penunggang motosikal termasuk di remaja di bawah umur 12 tahun ditahan polis kerana dipercayai terbabit melakukan aksi merbahaya dalam Ops Motosikal di Kompleks Sukan Jerlun, Kampung Sanglang. - Foto ihsan PDRM

Polis gempur 'port' rempit

JITRA: Kompleks Sukan Jerlun di Sanglang, di sini yang disalah guna sebagai ‘port’ rempit setiap petang akhirnya digempur polis, semalam.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Ismail Ibrahim, berkata hasil aduan dan pemantauan yang dilakukan mendapati kompleks berkenaan dijadikan tempat untuk melakukan aksi merbahaya.

Katanya, kebanyakan penunggang motosikal terbabit masih di bawah umur dengan usia termuda ketika pemeriksaan dijalankan adalah berusia 12 tahun.

“Hasil operasi khas yang dijalankan bermula jam 5 petang hingga 8 malam tadi, sebanyak sembilan motosikal disita dan sebanyak 92 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas.

“Antaranya termasuklah menunggang tanpa lesen, cukai jalan tamat tempoh dan mengubahsuai motosikal serta menunggang di bawah umur,” katanya, ketika dihubungi hari ini.

Mohd Ismail berkata, semua motosikal yang disita kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu untuk tindakan lanjut manakala remaja yang ditahan kemudian dibebaskan selepas dijamin.

“Saya menasihatkan ibu bapa serta waris supaya sentiasa memantau pergerakan anak-anak terutama yang masih di bawah umur supaya mereka tidak menunggang motosikal di jalan raya.

“Tindakan undang-undang boleh diambil terhadap pemilik motosikal yang membenarkan penunggang di bawah umur menunggang motosikal mereka,” katanya.

241 dibaca
Berita Harian X